Usul lanjut kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA gagal diluluskan

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk tempoh lima tahun lagi gagal diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ini berikutan selepas undian belah bahagian dijalankan, hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen menentang. Seramai 50 Ahli Parlimen pula tidak hadir.

- Advertisement -

Penolakan usul itu menyebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan.

Ketika membentangkan usul itu, Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, berkata perlanjutan selama lima tahun lagi mulai 31 Julai depan, membolehkan pihak berkuasa terus menggunakan peruntukan kuasa khas mengikut subseksyen berkenaan.

Katanya, perlanjutan itu akan membolehkan polis melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan mengikut SOSMA sehingga 28 hari.

“Peruntukan Subseksyen 4(5) SOSMA perlu dilanjutkan dan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan bagi memberi ruang masa yang cukup kepada polis melengkapkan siasatan kes kesalahan keselamatan yang bersifat rumit dan kompleks,” katanya.

Beliau berkata, siasatan kes membabitkan kesalahan keselamatan, terutama jenayah keganasan dan jenayah terancang adalah rumit dan kompleks.

Selain itu, katanya siasatan kes memerlukan masa untuk dilengkapkan bagi mendapatkan keterangan orang yang ditahan ketika pengumpulan bukti berkaitan bagi tujuan pendakwaan, termasuk mengesan rakan sejenayah yang masih bebas. – HARAKAHDAILY 23/3/22

- Advertisement -