
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Kos pengambilan pekerja domestik Indonesia sebanyak RM7,800 yang dimaklumkan dalam Dewan Rakyat, hari ini, adalah berdasarkan Memorandum Persefahaman (MoU) yang berakhir pada 2016.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, berkata struktur kos tersebut adalah berdasarkan Kumpulan Kerja Bersama Ke-9 pada September 2013 dalam MoU antara Malaysia dan Indonesia yang tamat pada 2016.
“MoU pekerja domestik Indonesia yang baharu dijadualkan untuk ditandatangani oleh kedua-dua negara di Jakarta pada awal April 2022,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ketika menjawab soalan lisan P Kasthuriraani (PH-Batu Kawan), Awang menyatakan bahawa jumlah kos pengambilan pekerja domestik Indonesia adalah sebanyak RM7,800, iaitu RM6,000 bagi kos di pihak Malaysia dan sebanyak RM1,800 bagi kos di pihak Indonesia.
Beliau berkata, struktur kos pengambilan pekerja domestik Indonesia akan diumumkan selepas MoU tersebut dimuktamadkan kelak. – HARAKAHDAILY 23/3/22




















