Tiada kecewa dalam kamus amilin

- Advertisement -

PRN JOHOR sudah berlalu. Petugas parti sudah pulang ke destinasi masing-masing dan sudah pun meneruskan tugas harian seperti biasa. Pelbagai cerita, kisah serta pengalaman dikutip di sana. 

Bagi petugas atau amilin PAS, PRN atau PRK adalah medan jihad siyasi mereka. Bukan sekadar turun bekerja dan berjuang untuk membantu parti, di sana juga medan taaruf dan ukhuwah yang amat berkesan. Ramai kenalan baru ditemui, baik dari petugas tempatan mahupun negeri bantu. Bila berhari-hari makan, minum, tidur dan bekerja bersama maka ukhuwah tumbuh subur merimbun. 

- Advertisement -

Semangat Muhajirin dan Ansar dihayati ketika bekerja. Apa sahaja kerja yang perlu dibuat atau boleh dibuat, akan dilakukan secara bersama. Dari memasang bendera, poster calon, ziarah rumah ke rumah hinggalah ke bilik pembuangan undi sebagai petugas PACA. 

Hari berpisah adalah saat paling pilu, perasaan bercampur-campur antara sedih, sayu dan kehilangan. Petugas tempatan terasa sunyi dan kehilangan seperti anak-anak kembali ke perantauan selepas pulang berhari raya. 

PRN juga medan yang baik untuk petugas bantu mengenal tempat orang. Nama tempat, kampung, taman, lorong dan jalan dihafal. Tempat-tempat makan yang sedap juga dihafal bersama. Andai ada apa-apa urusan di kawasan PRN kemudian hari, amat mudah bergerak di sana ibarat pulang ke kampung halaman sendiri.

Makanan di markas operasi ibarat rumah kenduri. Sentiasa penuh di meja sejak awal pagi hingga lewat malam. Kadang-kadang tidak tahu dari mana datangnya, ada sahaja orang yang menumpang kenduri. 

Singgahlah di markas mana pun, soalan pertama ialah dah makan atau belum. Apatah lagi jika yang singgah itu pimpinan, akan dijamu apa sahaja makanan yang ada. Itulah ruang bermesra dan bersembang, di manfaat sebaik mungkin oleh para petugas. 

Hari mengundi adalah kemuncak tugasan. Sesudah bekerja dan bermunajat kepada Allah, keputusan terserah kepada-Nya. Andai diumum menang, syukurnya bukan kepalang. Walau menang satu kerusi, disyukuri mereka seolah-olah menang di satu negeri. 

Andai diumum kalah, diterima dengan penuh redha. Masing-masing memujuk hati dengan sunnah perjuangan yang panjang dan penuh ranjau. Perjuangan mesti diteruskan dan usaha mesti digandakan.

Rasa kecewa tiada, apatah lagi putus asa. Buktinya jika ada lagi PRK di mana pun, petugas ini pasti datang dan bekerja lagi.

Mungkin terasa letih dan penat, namun tidak lama, selepas berehat, petugas akan bingkas bangun semula untuk meneruskan kerja-kerja jamaah.

Jelaslah tiada kecewa di hati amilin jamaah dengan mehnah dalam perjuangan, dengan tenaga yang dicurahkan, juga kewangan yang diinfaqkan kerana diyakini pasti ada ganjaran. Cuma mereka akan terasa hati, bahkan ada yang kecewa jika ada pemimpin yang buat hal.

Wahai para pemimpin, marilah bersama menjaga jamaah ini, santunilah para petugas serta sayangilah para amilin yang mukhlisin. Merekalah wali-wali Allah di dalam jamaah ini.

YB SENATOR DATO’ USTAZ AHMAD YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 16/3/2022

- Advertisement -