Senaraikan lebih banyak cerun berisiko tinggi

- Advertisement -

PADA 27 Januari lepas, REACH telah menggesa Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membuat pemeriksaan terperinci ke atas kawasan-kawasan cerun yang berisiko tinggi berikutan peristiwa tanah mendap di Lestari Perdana, Seri Kembangan pada 25 Januari.

Berikutan kes tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada 11 Mac yang mengorbankan 4 nyawa, kami sekali lagi menggesa Kerajaan Negeri membuat pemeriksaan terperinci ke atas semua kawasan-kawasan yang berisiko tinggi. Tindakan ini perlu untuk memastikan kejadian tanah runtuh ini tidak berulang kembali.

- Advertisement -

Kami juga menggesa agar Kerajaan Negeri menambah kawasan-kawasan berisiko tinggi di dalam senarai mereka kerana kawasan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 itu tiada dalam senarai lebih 150 cerun berisiko tinggi runtuh di Selangor terutamanya Ampang, Gombak dan Hulu Langat. 

Kejadian tanah runtuh terkini ini menunjukkan kawasan yang tiada dalam senarai berisiko tinggi turut boleh mengalami tanah runtuh dan telah terbukti telah meragut nyawa. Oleh yang demikian, Kerajaan Selangor perlu melakukan kajian ke atas semua cerun-cerun bagi mengklasifikasikannya semula.

Semua cerun-cerun yang berisiko tinggi perlu dipantau dari masa ke semasa untuk memastikan tidak berlaku sebarang pergerakan tanah yang boleh mengakibatkan tanah runtuh. Kerja-kerja penyelenggaraan perlu juga dilakukan untuk mengelakkan sebarang bencana dari berlaku.

Memandangkan pengalaman dengan kes-kes tanah runtuh yang meragut nyawa, Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan PBT perlu lebih berhati-hati di dalam meluluskan pembangunan yang melibatkan cerun. Sebarang syarat-syarat bagi pembangunan yang diluluskan perlu dikuatkuasakan dengan tegas dan tanpa pilih kasih.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Khidmat Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 16/3/2022

- Advertisement -