
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KUALA LUMPUR: Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) menetapkan sasaran untuk memajukan industri automotif tempatan sebagai hab automotif serantau bagi Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).
Ini termasuk Kenderaan Elektrik (EV) dengan ciri-ciri Kenderaan Generasi Masa Depan (NxGV) yang berfungsi bukan sahaja dari segi mengurangkan pelepasan karbon di udara, tetapi keupayaan mengoptimumkan tenaga yang digunakan.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Senator Datuk Lim Ban Hong, berkata antara usaha dilakukan ialah menubuhkan Pasukan Petugas EV yang dianggotai oleh kementerian, agensi dan pihak swasta berkaitan pembangunan industri EV.
Menurutnya, ini bagi menambah baik strategi sedia ada serta merangka strategi baharu bagi memperkukuhkan pembangunan industri EV di Malaysia.
Bagi memastikan Malaysia berupaya meningkatkan daya saing dalam menarik pelaburan dalam sektor EV, katanya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menawarkan insentif bukan sahaja kepada pengeluar kenderaan dan komponen (OEM), malah kepada pengguna seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2022.
“Kerajaan menawarkan pelbagai bantuan dan sokongan kepada syarikat yang berhasrat membangunkan komponen kritikal seperti sistem pengurusan bateri (BMS), sistem pengurusan haba (TMS), Light Detection and Ranging (LIDAR) dan rangkaian Radio Detection and Ranging (RADAR).
“Sokongan ini adalah berbentuk program pembangunan vendor seperti Program Kecemerlangan Pembekal Automotif (ASEP), Program Sistem Pembuatan Lean (LPS) dan Program Digital Engineering & Prototyping (DEP) yang diterajui oleh agensi di bawah MITI,” katanya menjawab soalan lisan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) di Dewan Rakyat, hari ini.
Ban Hong berkata, antara agensi MITI ialah Malaysia Automotive, Robotics dan IoT Institute (MARii) dengan program ini menyediakan bantuan teknikal dan perundingan bagi meningkatkan daya saing pembekal automotif tempatan supaya lebih mampan di peringkat global.
Selain itu, katanya penubuhan beberapa pusat kecemerlangan seperti Design Centre, National Emission Testing Center dan Academy of Technology di Rawang, Selangor, dapat meningkatkan keupayaan kejuruteraan tempatan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengujian dan pembangunan teknologi EEV.
Menurutnya, pembangunan EV Interoperability Centre (EVIC) juga akan dilaksanakan pada tahun ini.
“Pembangunan standard-standard berkaitan industri EV seperti sistem pengecasan, aktiviti pelupusan bateri, batterry swapping, wireless charging dan lain-lain turut diberi perhatian bagi memastikan teknologi EV yang diguna pakai dan dibangunkan dalam negara ini seragam, selamat dan berkualiti,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut menggalakkan syarikat tempatan menerokai peluang perniagaan baharu serta bekerjasama dengan pengeluar dan pemasang automotif serta pembekal stesen pengecasan dalam membangunkan satu ekosistem yang menyeluruh bagi penggunaan EV di Malaysia.
Sehubungan itu, katanya kerajaan menyediakan platform bagi padanan perniagaan syarikat tempatan dengan rantaian bekalan global.
Sementara itu, katanya kejayaan dasar dan usaha kerajaan memajukan industri EV diterjemahkan kepada pelaburan yang diluluskan bagi sektor EV.
Sebagai contoh, katanya dua syarikat besar yang berpangkalan di Korea Selatan, iaitu SK Nexilis dan IMM Technology telah melabur di Malaysia bagi menghasilkan electro-deposited copper foil yang digunakan sebagai komponen bagi bateri EV. – HARAKAHDAILY 16/3/2022




















