KeTSA dan kerajaan negeri bekerjasama tingkatkan litupan hutan

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Majlis Tanah Negara membuat libat urus dengan kerajaan negeri bagi menyelaras amalan pengurusan dan penggunaan sumber hutan secara terancang, rasional dan berkesan.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata pendekatan itu adalah antara usaha KeTSA melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perhutanan Negeri-Negeri serta Jabatan Perhutanan Sabah dan Sarawak, memaksimumkan litupan hutan negara.

- Advertisement -

Menurutnya, kerajaan juga mewartakan kawasan per hutan baharu sebagai hutan simpan kekal untuk meningkatkan atau mencapai sasaran sekurang-kurang 50 peratus kawasan per hutan menjelang tahun 2040 di Semenanjung Malaysia di bawah Rancangan Fizikal Negara Ke-4.

“Usaha diperhebatkan dengan Kempen Penanaman 100 juta Pokok dalam tempoh lima tahun di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Setakat 10 Mac lalu, sebanyak 27.75 juta pokok berjaya ditanam di seluruh negara

“Kerajaan juga mempertingkatkan usaha untuk pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan hutan yang dipanggil kawasan hutan terosot yang perlu ditanam dengan tanaman yang baik untuk menyelesaikan masalah tanah kosong dalam hutan,” katanya ketika penggulungan Titah Diraja bagi KeTSA di Dewan Rakyat.

Takiyuddin berkata, hutan pokok bakau juga tidak diabaikan dengan program penanaman pokok bakau di pesisiran pantai negara dilakukan sejak tahun 2005 lagi dengan kawasan seluas 3,231 hektar ditanam sebanyak 7.9 juta pokok bakau dan spesies pantai lain yang sesuai.

Selain itu, katanya kerajaan memperuntukkan Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) sebanyak RM60 juta setahun pada 2019, RM77 juta pada 2021 dan RM77 juta pada 2022 kepada kerajaan negeri sebagai inisiatif kerana berusaha melindungi kawasan hutan tadahan air dan kawasan hutan perlindungan sedia ada.

Menurutnya, kerajaan juga berusaha menjana pendapatan baharu melalui REDD Plus (Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation) serta mengawal dan mengelak kelulusan pembangunan utiliti dan bukan utiliti di hutan simpan kekal dan rizab hidupan liar di Semenanjung Malaysia.

Terdahulu, beliau menolak dakwaan Ahli Parlimen Permatang Pauh, yang membangkitkan usaha kerajaan menjalankan usaha untuk memaksimumkan litupan hutan negara.

Nurul Izzah Anwar merujuk laporan Tabung Alam Sedunia (WWF) yang menyatakan bahawa antara tahun 2001 hingga 2019 terdapat pengurangan hutan sebanyak 8.12 juta hektar di Malaysia.

Takiyuddin berkata, sumber rujukan WWF Malaysia adalah tidak tepat kerana berdasarkan `tree cover loss’ yang dikeluarkan oleh Global Forest Watch yang merujuk kepada perubahan litupan pokok dengan mengambil kira keluasan ladang komoditi dan juga pertanian yang tidak sepatutnya diambil kira.

“Sepatutnya yang diambil kira sebagai pokok yang meliputi hutan adalah berdasarkan hutan simpan kekal, kawasan perlindungan, hutan taman kerajaan dan hutan tanah pemilik,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/3/2022

- Advertisement -