Peta bahaya dan risiko banjir di 36 lembangan sungai utama

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang melaksanakan penilaian risiko bencana banjir berdasarkan unjuran perubahan iklim melalui inisiatif peta bahaya banjir dan peta risiko banjir di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Menterinya, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata inisiatif yang merangkumi 36 lembangan sungai utama telah siap dibangunkan.

- Advertisement -

Katanya, peta bahaya bagi enam lembangan sungai kawasan Lembah Klang dan peta risiko banjir bagi lembangan Sungai Bernam telah siap.

“Pembangunan peta bahaya dan peta risiko ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024 dan dikemas kini secara berterusan,” katanya menjawab soalan lisan Dato’ Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) di Dewan Rakyat, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, inisiatif ini adalah berdasarkan kedudukan negara yang terdedah kepada kejadian banjir kerana bentuk muka bumi serta sistem iklim yang mempunyai kadar kelembapan yang tinggi, manakala perubahan iklim akan meningkatkan tahap pendedahan negara kepada risiko bencana, termasuk banjir.

Malah, katanya hasil kajian Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) juga mendapati akan berlaku peningkatan intensiti maksimum lebat hujan yang akan memberi kesan kepada tahap perlindungan reka bentuk banjir terhadap sistem saliran sedia ada serta binaan infrastruktur berkaitan air.

Katanya, berdasarkan laporan Kumpulan Kerja Pertama Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan (IPCC) yang diumumkan pada 9 Ogos tahun lalu, suhu purata dunia dianggarkan meningkat kepada 1.1°Celsius yang akan memberi kesan kepada negara.

Sementara itu, katanya jabatan dan agensi di bawah KASA seperti JPS dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sentiasa peka dan berusaha untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana seperti banjir.

“Melalui jabatan dan agensi berkenaan, KASA sentiasa bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku urus setia Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara.

“JPS dan MET Malaysia juga sentiasa menyenggara dan menambah baik tahap kesiapsiagaan sistem amaran di bawah seliaan jabatan masing-masing. Hebahan maklumat cuaca dan banjir serta amaran awal kepada pasukan penyelamat akan ditambah baik dengan segera dan penyelarasan bersama pemegang taruh akan dipertingkatkan,” katanya.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan RMK-12, katanya MET Malaysia sedang memasang lapan buah stesen radar baharu di Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak, sebagai tambahan kepada 11 buah stesen radar sedia ada dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2022.

Selain itu, katanya JPS melaksanakan Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRABN) yang bertujuan memberi amaran awal kepada agensi berkaitan dengan pengurusan bencana dan orang awam.

“Siren akan dibunyikan apabila aras air melepasi nilai ambang tertentu untuk memberi amaran awal kepada penduduk setempat.

“Ramalan banjir seawal tujuh hari dan amaran seawal dua hari juga disediakan bagi lokasi yang dijangka banjir. Setakat ini, sistem ini beroperasi di lembangan sungai Pahang, Kelantan dan Terengganu dengan ketepatan 65 peratus,” katanya.

Beliau berkata, JPS melalui laman sesawang PublicInfobanjir sentiasa memantau keadaan hujan dan aras air di seluruh Malaysia, iaitu apabila data hujan atau data aras air melebihi nilai ambang tertentu, amaran akan dikeluarkan di dalam laman sesawang PublicInfobanjir untuk dirujuk oleh pengguna. – HARAKAHDAILY 10/3/2022

- Advertisement -