
DACS Malaysia pada hari ini merakamkan ucapan tahniah kepada Perbadanan Stadium Negeri Kedah, KDA FC dan rakan strategik Aafiat Group yang mengambil inisiatif untuk menyediakan ruang kemudahan menunaikan solat fardhu secara berjemaah untuk lelaki dan perempuan melalui tekad atau azam yang ada dalam ruang lingkup bidang kuasa mereka. Inilah yang sepatutnya menjadi salah satu keutamaan buat pihak pengurusan di stadium dalam negara kita.
Apa yang menarik dilakukan oleh Stadium Darul Aman ialah audio dan video Azan Maghrib akan dilaungkan di Stadium Darul Aman, dan video azan akan dipaparkan di Papan Skor LED serta Papan Iklan Padang LED.
Selain itu, pihak pengurusan KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, Ahli Lembaga Pengarah KDA FC dan pasukan KDA FC juga akan menunaikan solat secara berjemaah di surau Astaka Utama Stadium Darul Aman dan memulakan kempen mengajak semua penyokong hijau kuning menunaikan solat Maghrib di semua ruang kemudahan surau yang disediakan.
Ramai orang tersalah sangka mengenai konsep Islam dalam dunia sukan. Islam tidak pernah menyekat umatnya untuk bersukan bahkan menggalakkan umatnya untuk sentiasa berada dalam keadaan yang aktif dan cerdas. Menurut kata para cendekiawan Islam, aqal yang sihat itu datang daripada tubuh badan yang sihat.
Namun apa yang Islam ajar ialah aktiviti sukan yang dilakukan itu mestilah tidak bertentangan dengan syariat, prinsip-prinsip Islam serta dasar yang ada dalam Islam. Hakikatnya, tidak banyak larangan yang ada dalam Islam berbanding dengan perkara yang dibolehkan atau diharuskan dalam Islam.
Kita pada hari ini sudah berada di tahun 2022, tidak ada alasan lagi untuk kita berdalih dan mengasingkan kehidupan bersyariat dengan aktiviti sukan dalam negara kita. Tambahan pula, negara kita secara jelasnya pada data dan faktanya terdiri daripada masyarakat kaum Melayu dan Islam yang menjadi kelompok majoriti dalam negara ini. Maka, perhatian ke atas aspek solat di stadium ketika perlawanan seperti ini adalah amat wajar dan mesti dicontohi oleh stadium-stadium kita yang lain.
DACS Malaysia menyarankan agar lebih banyak pihak pengurusan stadium dalam negara kita dapat memberikan perhatian untuk memberikan kemudahan kepada para hadirin menunaikan solat secara berjemaah secara kondusif seperti yang dilakukan oleh Kedah ini.
DACS Malaysia juga berharap agar pihak FAM dapat mempertimbangkan aspek ini dan menjadikan ianya sebagai SOP yang rasmi sebagai rujukan atau lebih baik lagi sehingga ke tahap penguatkuasaan bagi semua stadium dalam negara kita mengambil tindakan ke arah menyediakan ruang kemudahan solat seperti yang dilakukan oleh Stadium Kedah pada hari ini.
Sekian,
MUHAMMAD FAIZUDDIN MOHD ZAI
Ketua Pengarah,
Department of Arts, Culture, and Sports (DACS),
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 9/3/2022
Rujukan: https://www.facebook.com/kdafc.my/photos/a.112879740673385/382492537045436/




















