Banjir ledakan hujan, 20 maut: PM Australia isytihar darurat

- Advertisement -

SYDNEY: Australia pada hari ini (9 Mac) mengisytiharkan darurat selepas banjir besar di sepanjang pantai timur negara itu mengorbankan 20 nyawa dan berpuluh-puluh ribu penduduk dipindahkan, menyebabkan pihak berkuasa bergelut untuk menyegerakan bantuan bekalan makanan ke kawasan yang paling teruk dilanda ledakan hujan selama berminggu-minggu.

Perdana Menteri, Scott Morrison dalam lawatan ke bandar Lismore di utara negeri New South Wales yang ditenggelami banjir, juga menjanjikan akan menyalurkan lebih banyak bantuan kewangan untuk orang ramai dan pemilik perniagaan.

- Advertisement -

Pengisytiharan darurat di negara itu adalah yang terbaharu diumumkan selepas ia kali terakhir diumumkan pada tahun 2019 susulan kebakaran belukar di negara itu.

Melalui pengisytiharan itu, ia akan memberi kuasa kerajaan persekutuan untuk mengurangkan kerenah birokrasi dan menggunakan sumber serta-merta termasuk membekalkan lebih ramai anggota pertahanan bagi membantu mangsa banjir.

Morrison mengumumkan perkara tersebut menjelang pilihan raya Australia pada Mei ini selepas menghadapi kritikan berhubung usaha bantuan kerajaan yang dikatakan lambat bertindak balas terhadap kejadian banjir berkenaan.

Penduduk tempatan di Lismore terpaksa membantu sendiri mangsa banjir di bandar itu sementara menunggu bantuan pihak berkuasa di Australia. (FOTO Reuters)

Susulan itu, kunjungan Morrison ke Lismore menjadi kecoh selepas penduduk di situ mengadakan tunjuk perasaan sebagai tanda tidak puas hati mereka dengan tindakbalas kerajaan Australia terhadap mangsa banjir di bandar itu.

Ledakan hujan yang melanda selama berminggu-minggu itu telah menenggelamkan sebahagian besar pantai timur Australia dengan tenggara Queensland dan New South Wales yang paling teruk terjejas. 

Kebanyakan kes kematian dilaporkan ketika mangsa berada di dalam rumah yang dinaiki air atau di dalam kereta yang cuba menyeberangi jalan raya  yang sedang dinaiki air.

Banjir yang semakin meningkat memusnahkan seluruh komuniti dan ramai penduduk  yang terperangkap di kediaman mereka telah diselamatkan sendiri  oleh penduduk tempatan. 

Penduduk Lismore mengadakan tunjuk perasaan ketika kunjungan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison ke bandar yang teruk terjejas dengan banjir besar berkenaan. (FOTO Media Mode)

Sehubungan itu, penduduk yang kecewa, tanpa akses kepada makanan dan internet selama beberapa hari, telah menyalahkan pihak berkuasa atas usaha bantuan yang disifatkan sebagai perlahan.

Sementara itu, beribu-ribu penduduk di timur laut Sydney kembali ke rumah mereka pada hari  ini (9 Mac) selepas ledakan hujan reda, tetapi banjir besar kekal berterusan di pinggir barat bandar berkenaan.

Scott Morrison pada sidang akhbar ketika kunjungannya ke Lismore, New South Wales, Australia pada hari ini, 9 Mac 2022. (FOTO AAP)

“Syukurlah, hujan telah reda, dan kita akan melihat paras air terus surut secara perlahan dalam beberapa hari akan datang,”  kata peramal Biro Meteorologi Australia (MetAustralia), Dean Narramore.

Musim panas pantai timur Australia telah didominasi oleh fenomena cuaca La Nina, biasanya dikaitkan dengan hujan yang lebih kerap dalam jumlah yang banyak, dengan kebanyakan sungai hampiir mencecah kapasiti walaupun sebelum hujan lebat terkini melanda.

Data rasmi MetAustralia  mengumumkan Sydney telah menerima sejumlah hampir 900mm hujan setakat ini pada 2022, atau kira-kira 80 peratus daripada hujan tahunannya,, permulaan paling lembap sejak setahun sejak ia direkodkan. – Reuters

- Advertisement -