
PAGOH: Berbaki dua hari lagi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, gelombang kebangkitan Perikatan Nasional (PN) semakin terasa.
Malam tadi Pentas Anak Muda Johor yang diadakan di Bilik Gerakan Zon Utara Perikatan Nasional, Pagoh Jaya dihadiri begitu ramai anak muda.
Bekas Menteri Besar Johor Dato’ Dr Sahruddin Jamal berkata, sambutan anak-anak muda begitu hangat sekali dengan kehadiran di luar jangka.
Katanya kehadiran ramai anak muda di kawasan Parlimen Pagoh ternyata memeriahkan pentas anak muda.
“Ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin menambahkan lagi semangat anak muda yang hadir. Kupasan tentang Perikatan Nasional bertujuan untuk membuka mata rakyat Johor.
“Perikatan Nasional adalah sebuah parti yang sentiasa menolak rasuah dan prihatin terhadap nasib rakyat,” katanya pada perkongsian di laman sosialnya.
Turut hadir pada program itu Ketua Pemuda Perikatan Nasional Ahmad Fadhli Shaari, Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Ketua Pemuda Gerakan Wong Chia Zen.
Selain itu Ketua Pemuda PAS Johor Ahmad Nawfal Mahfodz dan calon Dun Bukit Pasir, Nur Iqbal Razak.
Sementara itu di majlis lain hari ini Muhyiddin berkata, kebanyakan penduduk yang ditemui mengadu tentang kenaikan harga barang keperluan harian.
Selain itu katanya penutupan sempadan Malaysia-Singapura dan kesukaran anak-anak muda mencari pekerjaan.
“Saya menjelaskan selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara saya telah beberapa kali membuat syor dan gesaan kepada kerajaan agar sempadan negara segera dibuka,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Sebelum itu Muhyiddin beramah mesra dengan ketua-ketua komuniti, NGO dan veteran tentera pada program santai di Dorsett’s Corner dan Restoran Anjung Suri, Taman Makmur, Kluang.
Menurutnya sambil menikmati pisang goreng sambal kicap, keropok lekor, bakso dan cendawan goreng beliau bertanya khabar mengenai pelbagai perkara dan isu semasa.

“Saya juga menyeru orang ramai keluar mengundi beramai-ramai dan memilih parti yang banyak membela nasib rakyat dan prihatin iaitu Perikatan Nasional,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 9/3/2022




















