
Oleh AIN MANAF
TUMPAT: Lima balai polis di Kelantan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini kini dalam proses menilai kerosakan untuk membaik pulihnya.
Balai polis terbabit iaitu Balai Rantau Panjang, Kuala Jambu, Simpangan, Bakong dan Jeram Perdah.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Dato’ Muhamad Zaki Harun berkata, penilaian dibuat melibatkan kerosakan bangunan dan aset-aset pejabat.
“Balai polis yang terlibat kini dalam proses untuk dinilai kerosakan, sebelum laporan mengenainya dihantar ke Bukit Aman,” katanya selepas Program Pasca Banjir dan Penyampaian Sumbangan Mangsa Banjir di Sekolah Menengah Arab Kajang Sebidang, Kuala Jambu hari ini.
Menurutnya juga Polis Kelantan akan membantu 30 keluarga anggota polis yang terjejas dalam kejadian banjir melalui Tabung Kebajikan Polis.
“Kita akan berusaha untuk membantu keluarga anggota polis yang terlibat dan jenis-jenis bantuan yang diperlukan,” katanya.
Manakala dalam perkembangan lain kata beliau pihak polis menerima sebanyak 1,278 laporan yang dibuat mangsa banjir membabitkan pelbagai laporan termasuk kerosakan rumah dan tanaman.
Kata beliau pihaknya akan mengumpul laporan berhubung kerosakan dialami mangsa yang terlibat sebelum ia diserah kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara untuk tindakan lanjut. – HARAKAHDAILY 9/3/2022











