Pemimpin Saudi, UAE ‘enggan terima panggilan telefon’ Biden

Hubungan diplomatik antara Joe Biden dan Putera Muhammad bin Salman agak dingin pada ketika ini. (FOTO Washington Post)
- Advertisement -

RIYADH: Pemimpin de-facto Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah menolak untuk mengatur perbualan telefon dengan Presiden AS, Joe Biden dalam beberapa minggu kebelakangan ini, susulan AS dan sekutunya telah berusaha untuk membendung lonjakan harga tenaga yang disebabkan oleh serangan Rusia ke atas Ukraine.

Menurut laporan Wall Street Journal, memetik kenyataan pegawai Timur Tengah dan AS, kedua-dua Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman dan Presiden UAE, Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan ‘menolak untuk diaturkan sebarang perbualan telefon dengan Biden’ di tengah-tengah kebimbangan mengenai kenaikan harga minyak global.

- Advertisement -

Kedua-dua negara Teluk itu sebelum ini dianggap sebagai dua pembekal utama minyak dunia yang mempunyai kapasiti untuk menambah lebih banyak minyak bagi mengurangkan kebimbangan terhadap bekalan di peringkat global, namun hubungan kedua-dua Saudi dan UAE dengan AS di bawah Biden agak dingin ketika ini.

“Terdapat beberapa jangkaan panggilan telefon antara pemimpin Saudi dan UAE dengan Presiden AS, tetapi ia tidak berlaku,” ulas seorang pegawai AS mengenai perancangan untuk Putera Saudi Mohammed dan Biden berbincang melalui telefon.

Terdahulu, tindakan AS menghalang bekalan minyak dari Rusia berisiko memecah belahkan tindak balas Barat.

Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan  juga belum bersedia untuk mengadakan sebarang perbincangan dengan Joe Biden di tengah-tengah kebimbangan mengenai kenaikan harga minyak global.

Laporan mengenai komunikasi dingin Saudi dan UAE dengan AS di bawah pentadbiran Biden yang sebelum ini berusaha untuk meningkatkan bekalan minyak global selepas secara rasmi mengharamkan import minyak Rusia pada hari Selasa (8 Mac), mendorong harga minyak kepada naik sehingga  AS$130 setong, paras tertinggi dalam  tempoh 14 tahun.

Bagaimanapun perkembangan terkini, AS buat pertama kali membuka saluran diplomatik dengan Venezuela, sekutu Rusia, yang mempunyai rizab minyak terbesar di dunia.

Sehubungan itu,  Venezuela baru sahaja membebaskan sekurang-kurangnya dua rakyat AS  dari penjara sebagai tanda muhibah yang jelas terhadap pentadbiran Biden sebagai permulaan yang mungkin untuk meningkatkan pengeluaran minyak global bagi  mengurangkan lonjakan harga. 

Hubungan antara AS dan Arab Saudi sebelum ini menjadi dingin semasa pentadbiran Biden  susulan isu dasar AS  dalam wilayah Teluk.

Ia berpunca daripada beberapa isu berbangkit termasuklah tentang kebangkitan semula perjanjian nuklear Iran; kekurangan sokongan AS untuk campur tangan dalam perang saudara di Yaman dan isu pembunuhan wartawan Saudi, Jamal Khashoggi oleh pasukan pembunuh Saudi di konsulatnya di Istanbul empat tahun lalu.

Selain pernah bertemu mata dengan Raja Salman ibn Abdulaziz Al Saud pada 27 Oktober 2011, Joe Biden pernah mengadakan perbincangan dengan Raja Arab Saudi ini melalui panggilan telefon pada 9 Februari tahun ini.

Semasa kempen pilihan raya AS lalu, Biden berikrar untuk menganggap kerajaan Saudi sebagai negara ‘pariah’, mengatakan terdapat ‘sekarang ini terdapat nilai penebusan sosial yang sangat sedikit dalam kerajaan Arab Saudi.”

Pada awal minggu ini, jurucakap Rumah Putih, Jen Psaki membuat kenyataan bahawa  tiada sebarang rancangan untuk Biden dan Putera Mohammed berbincang melalui  telefon dalam masa terdekat, dan tiada sebarang perancangan untuk Biden mengunjungi Riyadh.

Dalam pada itu, duta UAE di AS, Yousef Al Otaiba, mengesahkan hubungan tegang antara kedua-dua  UAE dan AS. 

“Hari ini, kita akan melalui ujian tekanan, tetapi saya yakin bahawa kita akan keluar daripada tekanan itu, dan pergi ke tempat yang lebih baik,” ujar Al Otaiba.

Terdahulu, pegawai kanan AS dengan majlis keselamatan negara dan jabatan negara itu  melaporkan telah berkunjung ke Riyadh dan Abu Dhabi  beberapa minggu lalu dalam usaha untuk mengaturkan perbincangan antara Biden dengan pemimpin kedua-dua negara Teluk itu. 

Bagaimanapun, Wall Street Journal dalam laporannya sebelum ini berkata bahawa Biden telah mengadakan perbincangan dengan bapa Putera Mohammed, Raja Salman ibn Abdulaziz Al Saud pada 9 Februari lalu melalui penggilan telefon.

Melalui perbincangan tersebut, kedua-dua Biden dan Raja Salman mengesahkan tentang  perkongsian strategik dan ekonomi  kedua-dua buah negara. – Agensi

- Advertisement -