Akta 731 cegah penyalahgunaan perniagaan kiriman wang

Timbalan Menteri Kewangan, Dato' Indera Mohd Shahar Abdullah
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menetapkan had transaksi pengiriman wang keluar negara oleh seseorang individu tidak boleh melebihi RM50,000 setiap hari bagi mengawal selia aktiviti perniagaan perkhidmatan wang negara.

Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, berkata pengendali industri pengiriman wang juga perlu mengemukakan statistik transaksi secara berkala kepada BNM.

- Advertisement -

Katanya, dua tindakan itu adalah antara aspek dalam Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang (Akta 731) yang diperkenalkan pada 2011 untuk menyediakan rangka kerja pengawalseliaan komprehensif bagi mengawal selia aktiviti perniagaan perkhidmatan wang, termasuk perniagaan pengiriman wang.

“Akta 731 bertujuan memastikan perkembangan industri perniagaan perkhidmatan wang tersusun dan memperkukuhkan keutuhan industri supaya tidak disalahgunakan untuk jenayah kewangan dan aktiviti haram yang lain.

“Di bawah akta ini, peserta industri mesti dilesenkan oleh BNM dan dikehendaki mematuhi keperluan undang-undang dan pengawalseliaan dalam menjalankan aktiviti pengiriman wang.

“Setakat Disember tahun lalu, sebanyak 42 pengendali pengiriman wang bukan bank dilesenkan mengikut Akta 731,” katanya menjawab soalan lisan Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Mohd Khairuddin meminta Kementerian Kewangan menyatakan mekanisme khusus untuk mengawal selia peremitan wang ke luar negara, terutama oleh pekerja warga asing yang mencecah RM40 bilion setiap tahun.

Mohd Shahar berkata, Akta 731 juga penting untuk mencegah pengubahan wang haram dan pencegahan pembiayaan keganasan, terutama pelaksanaan langkah usaha wajar ke atas pelanggan serta penyelenggaraan rekod berkenaan transaksi perniagaan pengiriman wang.

Selain itu, katanya ini bagi melindungi pengendali pengiriman wang daripada digunakan sebagai perantara untuk aktiviti penghantaran wang haram.

Menjawab soalan tambahan Kuala Nerus, Timbalan Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga melakukan penambaikan terhadap Akta 731 bagi memastikan penguatkuasaan yang lebih cekap supaya aktiviti pengiriman wang haram dapat dicegah. – HARAKAHDAILY 9/3/2022

- Advertisement -