
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) memutuskan lapan inisiatif jangka pendek serta lima inisiatif jangka sederhana dan panjang untuk mengurangkan tekanan rakyat, terutama B40 dan M40 menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Rosol Wahid, berkata NACCOL setakat ini bermesyuarat sebanyak dua kali, iaitu pada 9 Disember tahun lalu dan 31 Januari lalu.
Katanya, antara inisiatif utama jangka pendek yang diluluskan dalam mesyuarat khas itu ialah Program Jualan Keluarga Malaysia membabitkan peruntukan RM100 juta yang dilaksanakan di 222 kawasan Parlimen sehingga bulan ini dengan kadar diskaun harga antara 15 hingga 20 peratus.
Melalui Program Mekanisme Kawalan Harga Minyak Masak antara Januari lalu hingga bulan ini, katanya sebanyak RM150 juta diperuntukkan untuk mengekalkan harga minyak masak botol dengan minyak botol 5 kilogram tanpa subsidi yang boleh mencecah hampir RM40 dapat dijual di bawah RM30.
“Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) pula dilanjutkan sehingga 5 Jun tahun ini. Antara barang kawalan utama adalah ayam dan telur ayam.
“Harga runcit ayam standard di bawah SHMKM diturunkan kepada RM8.90 bagi Semenanjung Malaysia, manakala penurunan harga di Sabah, Sarawak dan Langkawi adalah mengikut lokasi. Harga telur ayam gred A, B dan C yang diturunkan ketika pelaksanaan SHMKM sehingga Februari lalu, dikekalkan sehingga Jun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan) di Dewan Rakyat, hari ini.
Rosol berkata, subsidi kepada penternak ayam dan telur ayam turut diberikan bagi membolehkan harga runcit ayam standard dijual pada harga RM8.90, manakala harga telur ayam dikekalkan sehingga SHMKM tamat pada awal Jun akan datang.
“Inisiatif lain ialah permit import ayam akan turut membuka pengimportan ayam bulat dengan permit ini akan dipanjangkan kepada pemain industri pasar raya besar.

“Koperasi yang terlibat dalam industri pertanian juga akan dilibatkan untuk menawarkan barangan asas tanpa melibatkan orang tengah untuk mengawal harga,” katanya.
Menurutnya, isu kekurangan buruh asing dalam sektor berkaitan pengeluaran makanan juga dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet pada 10 Disember lalu, diikuti Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Bangladesh ditandatangani pada 19 Disember lalu.
Katanya, industri peladangan dan pertanian juga membuka permohonan untuk buruh asing pada 28 Januari lalu dan diharapkan penawaran tenaga kerja ini akan dapat membuka ruang untuk pemain industri pertanian dan peladangan untuk mengurus dan memastikan pengeluaran makanan akan stabil.
Bagi insiatif jangka sederhana dan jangka panjang, katanya Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) membuat siasatan jika wujud kartel dalam pakatan menentukan harga ayam dan telur.
“Kementerian Kewangan pula mengkaji insentif cukai untuk transformasi ladang ternakan ayam. Kerajaan berharap pemain industri beralih kepada sistem yang lebih efisien.
“Kerajaan juga menyokong penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk menjadikan isi rong kelapa sawit bagi menggantikan jagung dan soya sebagai makanan ayam,” katanya.
Rosol berkata, NACCOL juga mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk memanjangkan tempoh penggunaan tanah di bawah lesen pendudukan sementara (TOL) bagi aktiviti pertanian. – HARAKAHDAILY 8/3/2022




















