
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Projek membina jalan dan jambatan melintasi rel keretapi antara Kampung Kok Keli ke Kok Pasir, Tumpat, Kelantan, akhirnya diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM17.2 juta.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah, berkata projek itu diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama, Rancangan Malaysia Ke-12 (RP1, RMKe-12) tahun 2021.
“Skop pelaksanaan projek ini adalah membina jalan dan jejambat yang merentasi rel kereta api sepanjang 400 meter dengan spesifikasi JKR R2. Status terkini projek ini telah selesai reka bentuk dan dijangka dapat ditender pada bulan Jun akan datang” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dato’ Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab soalan tambahan, Hasbi berkata, projek di Tumpat turut mempunyai laluan untuk motosikal dan menyatakan satu lagi projek sama yang diluluskan ialah di Pasir Mas dengan kos sebanyak RM17.1 juta.
Sementara itu, Che Abdullah melahirkan perasaan syukur kerana perkara yang dibangkitkan setiap kali persidangan Dewan Rakyat sejak 2018 akhirnya menampakkan kejayaan.
“Saya berharap projek ini tidak tertangguh lagi kerana jambatan ini amat diperlukan untuk kemudahan penduduk di situ,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/3/2022




















