Malaysia perhebat usaha penghasilan vaksin

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar vaksin manusia dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata PPVN yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, November tahun lalu, adalah untuk meningkatkan kapasiti penghasilan vaksin tempatan yang berkualiti, berkesan dan selamat.

- Advertisement -

Sehubungan itu, katanya sebanyak RM349.9 juta diperlukan untuk pemerkasaan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) bagi tempoh empat tahun mulai tahun ini hingga 2025.

“Keperluan peruntukan ini adalah untuk mengatasi jurang yang telah dikenal pasti dalam penghasilan vaksin, iaitu ketiadaan makmal untuk melaksanakan kajian praklinikal dan klinikal yang menepati piawaian seperti Amalan Makmal Baik (GLP) dan Amalan Pengeluaran Baik (GMP).

“Peruntukan itu juga diperlukan kerana kesukaran mendapatkan pakar klinikal, terutama mengawal selia kajian praklinikal dan kajian klinikal fasa satu dalam manusia (FIH),” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Amzad berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) giat mengambil tindakan mengikut perancangan seperti mewujudkan Pejabat Pengurusan Projek Pembangunan Vaksin Malaysia (MVPO) bagi menjayakan perancangan dalam PPVN dan menyelesaikan isu berkaitan pembangunan vaksin.

Katanya, tindakan seterusnya ialah memuktamadkan spesikasi teknikal perolehan peralatan makmal bertaraf GLP dan GMP oleh MGVI.

Selain itu, katanya MOSTI menyelaras pembangunan vaksin di peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan praklinikal bagi vaksin kolera dan vaksin untuk kanser leher dan kepala bagi memastikan dilaksanakan mengikut jadual serta mengenal pasti dan melantik pakar dalam bidang vaksin.

“Jawatankuasa Pemandu Pembangunan Vaksin Kebangsaan (NASCOV) yang dipengerusikan oleh Menteri MOSTI pula berperanan memastikan strategi dan inisiatif PPVN dilaksanakan dengan kemas dan teratur,” katanya.

Beliau berkata, Kumpulan Kerja Sektoral Vaksin Malaysia (MVSWG) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha MOSTI dan Kementerian Kesihatan Malaysia pula berperanan untuk memantau dan menentukan hala tuju pelaksanaan keseluruhan strategi dan inisiatif PPVN. – HARAKAHDAILY 7/3/2022

- Advertisement -