
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tumpat, meminta kerajaan memberi perhatian serius terhadap isu pembangunan wilayah kurang membangun, terutama di Kelantan.
Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, Yang di-Pertuan Agong ketika Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen ke-14, juga bertitah mengenai perkara ini.
Katanya, titah Seri Paduka mengenai keseimbangan pembangunan dan ekonomi sangat tepat kerana isu ini masih menjadi belenggu dalam pembangunan ekonomi negara.
“Malah, soal keseimbangan wilayah sentiasa menjadi tema utama setiap kali perbahasan Rancangan Malaysia sejak Rancangan Malaysia Pertama hingga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan oleh kerajaan pada September tahun lalu.
“Dalam Pemacu ketujuh RMK-12, soal keseimbangan wilayah sekali lagi disebut bagi menggandakan pertumbuhan negeri yang kurang membangun,” katanya ketika perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Che Abdullah berkata, banjir yang melanda Kelantan sejak akhir Februari lalu, masih belum surut sepenuhnya.
Hingga hari ini, katanya masih terdapat rakyat di Tumpat yang terpaksa menggunakan perahu untuk sampai ke rumah masing-masing.
“Inilah yang dinamakan banjir termenung yang berlaku saban tahun dalam Parlimen Tumpat. Beberapa hari lalu, kampung ini bagaikan lautan airnya akibat limpahan air Sungai Golok,” katanya.
Beliau berkata, perkara ini sebenarnya sangat berkaitan dengan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang prihatin mengemukakan pelaksanaan projek tebatan banjir fasa 2 membabitkan kos RM1.3 bilion yang dijangka boleh menyelesaikan masalah banjir di Rantau Panjang, Pasir Mas dan banjir termenung di Tumpat,” katanya.
Menurutnya, projek itu yang dirancang dalam tiga fasa perlu segera disiapkan dengan mengambil kira kerugian dan kesusahan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat dan kerajaan. – HARAKAHDAILY 7/3/2022




















