
Oleh SRIHAYANIS ABASRI
KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyatakan komitmen tinggi untuk melaksanakan Program Biodiesel B20 yang dapat membantu mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 3.2 juta tan metrik karbon dioksida setara setahun.
Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata program itu juga berupaya mewujudkan pertambahan penggunaan minyak sawit mentah (MSM) daripada 0.53 juta tan setahun kepada 1.06 juta tan setahun.
Katanya, Program Biodiesel B201 dilaksanakan secara berfasa di Pulau Langkawi pada 1 Januari 2020, Wilayah Persekutuan Labuan pada 15 Januari 2020 dan Sarawak (kecuali Bintulu) pada 1 September 2020.
“Kerajaan berusaha menaik taraf depoh adunan biodiesel di Sabah dan Semenanjung bagi memperoleh kadar adunan biodiesel yang lebih tinggi pada masa hadapan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) di Dewan Rakyat, hari ini.
Che Alias meminta KPPK menyatakan perancangan terkini berhubung program biodiesel negara memandangkan Indonesia telah melaksanakan Program Biodiesel B40 pada bulan lalu..
Bagaimanapun, Zuraida berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan berikutan peningkatan kes Covid-19 menyebabkan projek menaik taraf depoh kemudahan adunan biodiesel tersebut tertangguh.
Katanya, ini berikutan keterbatasan pergerakan tenaga kerja oleh syarikat petroleum dalam menjalankan kerja teknikal bagi menaik taraf kemudahan adunan biodiesel di depoh terlibat. – HARAKAHDAILY 7/3/2022




















