
JOHOR BAHRU: Perikatan Nasional melahirkan rasa kesal dan dukacita terhadap insiden khianat, provokasi dan intimidasi yang terjadi terhadap bahan kempen serta petugas parti sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sikap biadap, gangster dan tidak hormat kepada prinsip demokrasi telah berlaku semalam di kawasan DUN N.49 Kota Iskandar.
Menurutnya, insiden tersebut adalah amat membimbangkan kerana ia juga melibatkan nyawa dan keselamatan petugas Perikatan Nasional yang sedang melakukan kerja-kerja memasang bahan kempen.
Katanya, seorang petugas warga emas berusia 61 tahun yang dikenali sebagai ‘Pak Ali’ bersama dua orang petugas Perikatan Nasional yang lain telah dikepung, diserang dan dikasari oleh lapan orang individu.
“Pada hari sebelumnya (5 Mac, Sabtu), beliau mendapati bendera yang beliau pasang telah dicabut oleh pihak yang tidak dapat dikenal pasti.
“Sehubungan itu, pada hari Ahad, 7 Mac 2022, beliau telah kembali ke lokasi tersebut dan memasang semula bendera Perikatan Nasional di lokasi jalan besar tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Katanya, ketika sedang melaksanakan kerja-kerja memasang bendera, Pak Ali telah didatangi oleh tiga orang yang tidak dapat dikenal pasti pada awalnya yang kemudian gerombolan itu bertambah seramai lapan orang keseluruhannya.
Menurutnya, selain dilontarkan kata-kata kesat dan hina, Pak Ali telah ditumbuk berkali-kali di bahagian dada dan cermin teksi beliau telah dipecahkan semasa insiden provokasi yang melampau tersebut.
Lantaran itu, ujarnya sebuah laporan polis telah dibuat pada jam 10:30 pagi tadi dan pihak Perikatan Nasional menggesa pihak polis untuk mengambil tindakan yang tegas bagi menjamin keselamatan dan nyawa para petugas kempen yang lain.
Selain itu, katanya insiden khianat juga telah dilaporkan terjadi terhadap bahan-bahan kempen Perikatan Nasional di seluruh Johor.
Beliau berkata, mengikut laporan yang diterima oleh pihak BGU, sebanyak 76 billboard Perikatan Nasional “Abah Prihatin Demi Bangsa Johor” dirosakkan dan ia dipercayai akibat perlakuan khianat jentera parti tertentu.
“Kita juga mendapati poster-poster dan bendera Perikatan Nasional juga dicabut dan dialihkan oleh pihak-pihak yang sama,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan petugas parti untuk melakukan laporan polis di balai-balai polis berdekatan bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang. – HARAKAHDAILY 7/3/2022




















