
Oleh EVA NATASHA SADALI
SETELAH hampir dua minggu berkampung di sini, sudah semakin terasa bahang pilihan raya negeri Johor yang bakal berlangsung hujung minggu ini. Bandar Batu Pahat ini masyhur dengan lubuk perniagaan kaum Cina. Rata-rata di sini dimonopoli kaum itu, baik perniagaan makanan, farmaseutikal, gedung pakaian sehinggalah perkhidmatan dobi.
Jika diperhatikan dengan teliti, penulis dapati di satu-satu kawasan ini terdapat lebih daripada lima farmasi yang menjual ubat-ubatan, memang benar orang kata, masyarakat Cina sangat menitikberatkan soal kesihatan.
Ini merupakan kali pertama penulis menjejakkan kaki di Batu Pahat, sebelum ini pernah berkunjung ke Pasir Gudang dan Kota Tinggi bagi menziarahi saudara yang menetap di Felda Air Tawar. Suasana di Batu Pahat dan Kota Tinggi tidak banyak beza, cumanya di sini penulis lebih arif selok-belok jalannya.
Pada 25 haribulan lepas penulis sempat menemu bual Mohd Nur Iqbal Razak yang merupakan calon Perikatan Nasional bagi DUN Bukit Pasir, katanya perubahan yang ingin dibawa di kawasannya itu adalah bagi menambahbaik sistem perparitan di sana memandangkan bencana banjir sering berlaku.
Tinjauan awal penulis ke kawasan tersebut mendapati rata-rata penduduk yang menetap di sekitar kawasan itu sedia memberikan sokongan terhadap calon PN, penulis sempat mendekati seorang penduduk India berumur dalam lingkungan awal 40an.
Satu keluarganya sedia memberi sokongan terhadap ‘abah’ meskipun kebanyakan ahli keluarganya menetap di Kluang, mereka sedia pulang ke tempat mengundi untuk memangkah calon Perikatan Nasional yang bertanding di DUN tersebut. ‘Selamanya Abah’ katanya.
Beberapa hari mengikuti program kempen bersama Iqbal ini, antara program bagi mendekati anak muda yang dianjurkan ialah pertandingan bola padang. Apa yang uniknya, remaja berentap dengan golongan veteran yang berumur 40 tahun dan ke atas dalam aksi persahabatan ini. Walaupun digelar veteran tetapi masih berbisa dan menyengat di atas padang.
Ketika interviu ringkas bersama ‘Ayah’ yang merupakan orang yang dikenali lima kampung di DUN Bukit Pasir ini, riak wajahnya kelihatan optimis dan positif terhadap Perikatan Nasional. Katanya majoriti penduduk di sini dipengaruhi undi mereka oleh ketua mereka, sekiranya ketuanya memangkah Perikatan Nasional, yang lain pun akan berbuat sedemkian. Secara tidak langsung, calon PN bagi kerusi Bukit Pasir ini sudah mendapat ratusan undi.
Malah, ketika kempen di premis perniagaan kaum Cina, reaksi positif turut kelihatan terhadap Perikatan Nasional, sinonimnya masyarakat Cina lebih terarah kepada DAP tetapi senario di Johor ini, nampak lain sikit. Penulis mengharapkan sedikit sebanyak mampu mengubah mindset pengundi Cina yang merupakan pengundi kedua terbanyak di Johor iaitu 37 peratus.
Pemerhatian diteruskan ke kawasan DUN Parit Yaani yang ditandingi Ustaz Ahmad Naufal Mahfoz bagi calon Perikatan Nasional. Kebanyakannya juga dilihat positif terhadap calon ketika berkempen. Rata-rata menerima pemberian pelitup muka, hand sanitizer dan pamplet daripada petugas kempen. Cuma ada beberapa reaksi kurang senang dapat dilihat daripada segelintir pengundi Cina ketika kempen diadakan di pasaraya sekitar.
Sungguhpun begitu, penulis tidak menyangka sehinggakan ada anak muda yang mendekati kami untuk menjadi ahli Perikatan Nasional dan bersedia untuk memangkah calon PN. Situasi ini menggambarkan hakikatnya tidak semua anak muda takut kepada politik, malah menawarkan diri untuk memberikan sokongan. Respons yang sangat positif daripada anak muda dan kita harapkan di semua kawasan berlaku sedemikian.
Walaupun PAS hanya bertanding di 15 kerusi DUN Johor, peluang berkempen perlu dimanfaatkan semaksima mungkin bagi mendekati serta menyantuni penduduk dari segenap lapisan masyarakat. Seperti pencalonan calon Perikatan Nasional di DUN Kemelah yang diwakili Normala Samsudin, majoriti penduduk sekitar mengenali figura seorang pendidik ini.
Mesra dengan panggilan Cikgu Mala, memberi kelebihan kepada beliau kerana DUN Kemelah ini sememangnya tempat beliau menetap dan berkhidmat. Tidak hairanlah sekiranya ramai penduduk mengenali sosok tubuh yang tinggi lampai ini. Tambahan pula, ramai anak murid beliau juga sedia memberikan sokongan kepadanya. Ketika berkempen di taman rekreasi berdekatan, anak muda juga tidak kekok dan janggal ketika didekati Cikgu Mala, malah memberikan respons yang cukup baik.
Menariknya, ketika kempen di Medan Selera berdekatan, respons mereka terhadap Perikatan Nasional juga menunjukkan signal positif, salah seorang peniaga sangat optimis terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang beliau gelar sebagai ‘abah’, katanya jasa abah terhadap penduduk Felda sangat besar apabila melangsaikan 80 peratus hutang mereka. Mereka sangat terhutang budi kepada abah.
Walaupun Cikgu Mala pernah tertewas dua kali sebelum ini di DUN Tenang dan DUN Pemanis, itu bukan penghalang buat beliau untuk tidak meneruskan karier politiknya, bahkan terus memberikan semangat kepada diri beliau bagi berusaha dengan lebih baik lagi.
Penulis meneruskan perjalanan di sekitar Segamat bagi mengikuti perkembangan calon Perikatan Nasional bagi DUN Jementah, Maimunah Safwa Musa. Seorang pendidik di PASTI, mesra disapa Cikgu Muna, ini merupakan pertama kali bertanding di Jementah.
Jementah merupakan kawasan bermajoriti penduduk berbangsa Cina, kira-kira 50 peratus. Cabaran besar Cikgu Muna sebenarnya bagi menarik minat pengundi Cina ini, yang semua sedia maklum mereka sememangnya pro kepada DAP.
Bagaimanapun, Cikgu Muna kekal optimis dengan pendirian beliau untuk berusaha sebaik habis sebelum pilihan raya berlangsung. Penulis yakin beliau pasti mempunyai taktik dan rancangan tertentu dalam berkempen di DUN Jementah. Sahabat-sahabat Briged Muslimat turut membantu dalam usaha merancakkan lagi program kempen di sana.
Sempat mengikuti salah satu program beliau adalah pelancaran konvoi motosikal berkuasa besar Alternative Riding Club (ARC) yang merupakan grup di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia. Itu merupakan antara program melibatkan anak muda.
Sokongan terhadap beliau juga dilihat sangat memberangsangkan. Ketika sesi temuramah bersama beliau di sekitar Segamat, beliau tidak menafikan sokongan orang ramai terutamanya kenalan, sanak saudara serta ibu bapa anak murid yang positif kepada beliau.
Pengaruh beliau sebagai Pengerusi Majlis Guru PASTI kawasan Segamat dan juga AJK Majlis Guru PASTI negeri Johor turut memberikan kelebihan kepada dirinya bagi menarik lebih ramai undi.
Malah, sokongan terhebat yang diberikan adalah daripada suaminya sendiri yang merupakan orang kuat serta orang kanan beliau untuk perjalanan program kempen yang berlangsung hampir dua minggu ini.
Bagi DUN Maharani pula, penulis sempat menyantuni Cikgu Aziz yang merupakan calon Perikatan Nasional bagi DUN tersebut. Kebanyakan calon PN daripada PAS ini merupakan warga pendidik, maka tidak hairanlah sekiranya mereka ini sangat dikenali di kawasan mereka. Mereka juga senang untuk didekati penduduk setempat, sekaligus memberikan kelebihan kepada mereka.
Cikgu Aziz yang kini memegang jawatan sebagai Guru Besar Parit Pinang Seribu Muar, sangat dikenali masyarakat di kawasan itu sebagai seorang tokoh pendidik yang sangat berwibawa. Nama beliau tidak asing lagi di DUN Maharani. Kebanyakan penduduk sekitar mengenalinya sebagai pemimpin yang sangat berintegriti.
DUN Maharani pernah dipegang oleh PAS suatu masa dahulu, Cikgu Aziz yakin beliau mampu mengembalikan zaman kegemilangan itu bersama kerajaan Perikatan Nasional kelak. Sokongan terhadapnya turut dilihat positif ketika sesi wawancara bersama penulis di Muar. Katanya, pengaruhnya sebagai guru besar yang mengenali penduduk di kawasan itu memberikan kelebihan buat dirinya.
Tidak sombong dengan penduduk sekitar, Cikgu Aziz sering disapa penduduk di kawasannya itu, baik di warung-warung mahupun di kedai-kedai makan. Perwatakannya sangat ramah, jadi tidak peliklah orang ramai mudah mendekati beliau.
Kesimpulannya, setakat lima DUN yang dibawah pemerhatian penulis boleh didapati pengundi Melayu, Cina dan India boleh untuk memangkah Perikatan Nasional dalam PRN Johor. Meskipun ada beberapa pengundi yang didekati tidak memberikan respons yang baik, situasi itu normal lebih-lebih lagi dalam suasana pilihan raya ketika ini.
Kebanyakan pengundi terutamanya anak muda, mereka menginginkan sebuah pentadbiran kerajaan yang stabil, kestabilan politik memberi impak yang baik terhadap ekonomi negara. Sekiranya undi diberikan kepada Perikatan Nasional, mereka tidak lagi dijanjikan manifesto bagai bulan dan bintang tetapi pemimpin ini menyatakan ikrar akujanji mereka terhadap perkara-perkara yang sememangnya mereka akan laksanakan.
Pesanan kepada seluruh bangsa Johor, nilailah parti mana yang mampu memerintah dengan berintegriti, bukan parti yang hanya pandai menggula-gulakan hati. Logo yang anda pangkah nanti menjadi penentu kerajaan yang akan tadbir negeri anda selama lima tahun yang akan datang. Terlajak perahu boleh undur, tersalah undi binasa negeri. Selamat mengundi! – HARAKAHDAILY 7/3/2022











