Banjir kilat kerana hujan lebat luar biasa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kejadian banjir kilat di sekitar ibu negara petang tadi berpunca daripada hujan lebat luar biasa dalam tempoh dua jam.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ini menyebabkan sistem perparitan sedia ada tidak dapat menampung kapasiti aliran air yang tinggi.

Katanya, kejadian hujan lebat berterusan bermula 2.30 petang telah menyebabkan berlakunya banjir kilat di jalan-jalan utama pusat bandar Kuala Lumpur, Jalan Batu Bata, Kampung Periuk, Kampung Pasir Baru dan Kolej Telekom.

- Advertisement -

Menurutnya, bacaan hujan yang tinggi direkodkan di Stesen Taman Desa SMART, Kuala Lumpur dengan bacaan 106.5 mm dan Stesen Air Panas, Kuala Lumpur dengan bacaan 155 mm dalam tempoh dua jam.

Katanya lagi, aras air Sungai Gombak di Stesen Jalan Tun Razak adalah pada aras bahaya dengan bacaan 31.99 m, manakala aras air Sungai Gombak di Jalan Parlimen dan Sungai Klang di Stesen Jambatan Tun Perak masing-masing adalah 30.38 m dan 30.12 m.

Beliau berkata, insiden banjir kilat itu menyebabkan kawasan tempat letak kereta di Besraya ditenggelami air sehingga kedalaman 0.6 meter.

“Selain itu, adalah dianggarkan 103 buah rumah telah terjejas di seitar Kampung Periuk dan Kampung Pasir Baru, Kuala Lumpur,” ujarnya dalam satu kenyataan, malam ini.

Menurut beliau lagi, semua infrastuktur sistem kawalan banjir di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan (JPSWPKL) seperti seperti rumah pam, pintu kawalan air, siren, kolam takungan dan lencongan banjir telah beroperasi dengan baik mengikut SOP.

Katanya, lencongan terowong SMART telah diaktifkan kepada Mode 2B pada 3.40 petang, Mode 2 pada 3.58 petang dan seterusnya Mode 3 pada 4.44 petang.

“Bagi mengurangkan risiko banjir kilat ini, JPSWPKL sedang melaksanakan kerja pembaikan dan menaik taraf kolam takungan banjir di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur termasuklah Kolam Takungan Batu,” ujarnya.

Sehubungan itu, kata beliau orang ramai khususnya penduduk kawasan rendah dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan sentiasa berjaga-jaga ketika hujan lebat.

Tambahnya, orang ramai juga diminta untuk sentiasa peka dengan bunyi siren amaran banjir bagi memantau keadaan cuaca.

“Sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku serentak, mereka perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa yang ditetapkan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 7/3/2022

- Advertisement -