
LAHORE: Pakistan telah berjaya mencapai perjanjian untuk mengimport gas asli dari Rusia, walaupun terdapat bantahan khususnya dari Barat terhadap serangan Moscow ke atas Ukraine.
Ketika pelbagai negara di seluruh dunia mengenakan sekatan terhadap Rusia, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan sebaliknya menjadi pemimpin negara pertama yang menandatangani perjanjian perdagangan baharu dengan Rusia sejak serangan ke atas Ukraine pada 24 Februari lalu itu.
Khan dalam kenyataan melalui siaran televisyen pada Rabu (2 Mac) berkata, beliau dan Putin telah mengadakan ‘perbincangan hebat’ susulan lawatannya ke Moscow pada Rabu minggu lalu.
Kedua-dua Khan dan Putin juga telah menandatangani perjanjian dua hala, yang mana Pakistan juga bersetuju mengimport dua juta tan gandum dari Rusia.
Beliau mempertahankan perjanjian itu dengan menegaskan Pakistan memerlukan kerjasama dua hala dengan Rusia berkenaan.
“Kami telah menandatangani perjanjian dengan Rusia untuk mengimport gas asli kerana rizab gas Pakistan sendiri semakin berkurangan.
“InsyaAllah, masa akan menentukan bahawa kami telah mengadakan perbincangan yang hebat,” katanya yang turut menyatakan kebimbangan terhadap serangan Rusiake atas Ukraine itu.
Kenyataan Khan itu dibuat selepas mesyuaratnya dengan Putin yang mana Khan telah memaklumkan kepada Putin bahawa beliau ‘menyesali situasi terkini antara Rusia dan Ukraine’ dan berharap ‘diplomasi dapat mengelak konflik ketenteraan’ antara kedua-dua negara terbabit.
Susulan itu, diplomat tertinggi 22 negara telah menyeru Pakistan untuk menyokong resolusi yang mengecam pencerobohan Rusia terhadap Ukraine dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Minggu lalu, media negara Rusia menyiarkan imej Khan dan Putin berjabat tangan dan duduk bersamanya di Moscow, beberapa jam selepas Putin memberikan ucapan di televisyen mengisytiharkan perang ke atas Ukraine. – Independent.co.uk




















