
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menumpukan usaha membasmi miskin tegar menjelang tahun 2025 melalui tindakan bersepadu pelbagai pendekatan bagi memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati bersama.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah semua pihak hendaklah menggembleng tenaga dan memberikan komitmen tinggi agar taraf hidup golongan miskin tegar dapat ditingkatkan melalui peningkatan pendapatan yang mampan.
Seri Paduka juga mahu tumpuan diberikan kepada penyediaan infrastruktur luar bandar yang lebih baik dan berkualiti bagi menjamin kesejahteraan masyarakat luar bandar.
“Ketidakseimbangan pembangunan dan ekonomi antara kelas pendapatan, wilayah dan negeri serta antara semua etnik seperti Orang Asli dan lain-lain hendaklah dikurangkan bagi memastikan kemakmuran negara dinikmati oleh semua secara adil.
“Penyediaan tempat tinggal yang selesa dan kondusif juga perlu diperluaskan melalui penyediaan bantuan bina baharu serta pembaikan rumah yang uzur, terutama kepada golongan miskin dan kurang berkemampuan agar mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih sejahtera,” titah Baginda.
Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat, hari ini.
Di samping itu, Seri Paduka mahu akses kepada perumahan diberi keutamaan melalui pelbagai inisiatif yang lebih mesra pendapatan seperti penyediaan Rumah Mampu Milik (RMM) dan kaedah pembiayaan perumahan bagi kumpulan B40 dan M40.
Baginda bertitah, strategi perumahan yang konklusif, praktikal dan mampan hendaklah dirangka melalui libat urus dengan semua pihak berkepentingan secara konsisten.
Selain itu, Baginda mahu penglibatan syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) diteruskan dalam usaha menyediakan perumahan kepada golongan yang memerlukan sebagai tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.
“Dalam mendepani cabaran urbanisasi pula, beta menyambut baik program Aspirasi Malaysia Berdaya Huni bagi mengukur tahap kesejahteraan rakyat melalui Indeks Daya Huni Malaysia (iDAM). Indeks ini akan menjadi pengukur tahap kesejahteraan berimpak tinggi kepada semua lokaliti di peringkat pihak berkuasa tempatan dan menjadi instrumen dasar ke arah menilai kemampanan bandar,” titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah bertitah, tadbir urus perbandaran melalui penggunaan teknologi digital dalam pengurusan, perancangan dan pembangunan bandar hendaklah dipelbagaikan, manakala usaha menyediakan penyelesaian langsung kepada masalah fizikal, ekonomi dan sosial yang dihadapi oleh penduduk perlu terus dipergiatkan. – HARAKAHDAILY 28/2/2022




















