
Oleh NUR HASMIRA MOHAMAD
KUALA LUMPUR: Pertambahan jumlah pengundi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam kalangan anak muda 18 tahun diramalkan memberi perubahan terhadap kepimpinan Dewan Undangan Negeri Johor.
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Mohd Izzuddin Aziz berkata, pertambahan sebanyak 6.67 peratus daripada kalangan pengundi 18 tahun turut menjadi episod kayu ukur keberkesanan pelaksanaan #undi18 dalam pilihan raya umum akan datang.
“Walaupun pada hakikatnya pilihan raya ini tidak sepatutnya berlaku dalam situasi hari ini.
“Melihat kepada pelaksanaan “pilot test” #undi18 yang akan berlaku di Johor menjadi satu signal jelas kepada anak muda dalam melakukan perubahan di Johor.
“Ini jelas apabila berlakunya pertambahan jumlah pengundi khususnya kalangan anak muda dengan pertambahan sebanyak 6.67 peratus untuk pengundi berumur 18 sehingga 21 tahun manakala 21.59 peratus bagi pengundi berumur 21 sehingga 29 tahun,” ujar Mohd Izzuddin kepada Harakahdaily.
Mengulas lanjut katanya, PRN Johor juga menjadi medan menguji sejauh mana sambutan dan maklum balas anak muda terhadap situasi politik pada masa ini.
“Sama ada akan mendapat sambutan hangat ataupun hanya hangat-hangat tahi ayam.

“Semestinya sebagai mahasiswa kita menginginkan kebaikan bagi seluruh anak muda yang merupakan “first time voter” bagi memastikan kecaknaan mereka terhadap politik negara berada pada tahap yang optimum dan matang agar mereka tidak salah dalam menentukan sesuatu keputusan.
“Sempena PRN Johor ini apa yang penting adalah kita menginginkan pemimpin yang bersih, berintegriti, amanah dan tidak mengamalkan politik wang.
Mohd Izzuddin mengajak anak muda supaya menolak ahli-ahli politik yang rakus terhadap kuasa yang menjadi penyebab terbesar tumbangnya kerajaan-kerajaan negeri.
Katanya, kalangan ahli politik seperti itu tidak langsung memberi keuntungan kepada rakyat malah menyusahkan rakyat.
“Oleh itu, anak muda perlu sentiasa memerhati dan bijak menilai segala isu dan tindak tanduk ahli politik dengan kebijaksanaan serta intelektual yang dipandu dengan nilai ilmu dan fakta yang tepat bukan hanya bergantung kepada media arus perdana yang sengaja dicipta oleh sebahagian pihak untuk mengelirukan fakta sehingga memperdayakan anak muda,” ujar Mohd Izzuddin.
Pada Sabtu lalu, Pilihan Raya Negeri Johor bermula dengan penamaan calon bagi kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Suruhanjaya Pilihan Raya mengesahkan seramai 239 calon layak bertanding sekali gus menyaksikan beberapa kerusi DUN yang dipertandingkan bertembung empat sehingga tujuh penjuru.
Rakyat Johor akan keluar mengundi untuk PRN Johor pada 12 Mac manakala hari pengundian awal 8 Mac. – HARAKAHDAILY 28/2/2022











