
BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) bersama Amerika Syarikat (AS) dan sekutu Barat lain, mengumumkan sekatan baharu terhadap Rusia yang menceroboh Ukraine, termasuk menyekat beberapa bank Rusia dari sistem pembayaran antara bank SWIFT.
SWIFT ialah rangkaian pembayaran antarabangsa utama dunia.
Ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, berkata Brussels juga mencadangkan pembekuan aset Bank Pusat Rusia, yang dilihat sebagai sekatan lebih drastik terhadap Moscow yang menceroboh Ukraine.
Von der Leyen berkata, EU juga akan mengeluarkan bank tertentu Rusia dari sistem pembayaran SWIFT bagi memenuhi permintaan Kyiv yang mahu EU bertindak lebih tegas menekan ekonomi Rusia.
Jerman pula mengumumkan bahawa Berlin akan menyekat individu dan institusi dalam dan luar Rusia kerana menjadi penyokong peperangan.
AS dan sekutu Barat juga menyatakan pendirian bersedia mengambil langkah tambahan lain untuk menghukum Rusia kerana menceroboh Ukraine.
Seorang pegawai kanan AS berkata, sekatan luar biasa Barat untuk menyekat bank Rusia dari sistem global akan menggoncang Bank Pusat Rusia dan menjadikan nilai matawang negara itu, Ruble, merudum.
“Hanya Presiden Putin boleh menentukan berapa banyak kos yang dia sanggup tanggung,” kata pegawai itu yang memberitahu bahawa pasukan petugas akan memburu kapal layar, jet, kereta dan rumah mewah milik oligarki Rusia. – TRTWORLD




















