‘Yang ini empat penjuru, okey’

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

PONTIAN: Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin berkata, beliau sudah biasa bertanding beberapa penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau pernah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Umum 2013 dalam pertandingan tiga penjuru.

Menurutnya, beliau menghadapi saingan lima penjuru ketika bertanding di DUN yang sama pada PRU berikutnya.

- Advertisement -

Pada PRN kali ini, Ustaz Abdullah yang mewakili Perikatan Nasional di DUN Pulai Sebatang berhadapan dengan tiga lain calon iaitu Suhaizan Kaiat (PH-Amanah), Hasrunizah Hassan (BN-Umno) dan Abd Rashid Abd Hadi (Pejuang).

Pencadang beliau ialah Hussien Sar sementara penyokong Zakariya Bachok. Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Awang Hashim dan Wan Rohimi Wan Daud turut hadir semasa penamaan calon.

Pada PRU14 lalu, DUN itu dimenangi oleh Muhammad Taqiuddin Cheman daripada PKR dengan majoriti 3,395 undi.

“Saya bertanding empat penjuru, Barisan Nasional (BN) meletakkan Umno, PH meletakkan Amanah, Pejuang satu. Nasib baik tidak ada bebas. Empat sahaja,” ujarnya ketika ditemui selepas selesai pengumuman calon-calon yang bertanding di pusat penamaan calon di Dewan Jubli Intan di sini, hari ini.

Beliau dalam nada berseloroh berkata, sahabatnya, Dr Karim Deraman yang menghadapi saingan tujuh penjuru di DUN Tiram lebih meriah.

“Sahabat saya, Dr Karim di (DUN) Tiram tujuh penjuru, lagi meriah. Tapi penjuru-penjuru ini saya sudah biasa.

“Masa saya menang di DUN Puteri Wangsa 2013 pun tiga penjuru, yang kalah di Puteri Wangsa lima penjuru. Yang ini empat penjuru, okey lah,” ujarnya lagi.

Pada PRN Johor kali ini, 15 calon Perikatan Nasional adalah daripada PAS, Bersatu (33) dan Gerakan (lapan).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian manakala pengundian awal pada 8 Mac. – HARAKAHDAILY 26/2/2022

- Advertisement -