
KYIV: Tentera Rusia menyerang pangkalan tentera di jalan utama ibu negara Ukraine, Kyiv. Bagaimanapun, tentera Ukraine mendakwa serangan itu berjaya dipatahkan.
Agensi berita Interfax Ukraine pula melaporkan tentera Rusia cuba menawan sebuah stesen janakuasa elektrik di bandar itu.
Beberapa jam sebelum itu, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy, meramalkan tentera Rusia akan melancarkan serangan semalaman.
“Penjenayah tentera Rusia menyerang satu unit tentera di Victory Avenue, namun serangan itu ditentang hebat,” kata tentera Ukraine dalam siaran bahasa Inggeris di laman sosial Facebook.
Bagaimanapun, laporan itu tidak memberi butiran lanjut dan tidak dapat disahkan serta-merta. Peremohy atau Victory Avenue terletak di barat pusat bandar Kyiv.
Ukraine tembak jatuh pesawat pejuang Rusia
Ukraine mendakwa menembak jatuh dua pesawat Rusia, iaitu sebuah pesawat pengangkut Ilyushin IL-76 dan Sukhoi SU-25 serta sebuah helikopter.
Ketua Pentadbiran Wilayah Vinnytsia, Serhiy Borzov, berkata dalam media sosial bahawa Ukraine menembak jatuh jet pejuang Sukhoi SU-25 Rusia berhampiran Kalynivka di wilayah Vinnytsia.
Sistem pertahanan udara Ukraine pula menembak jatuh pesawat IL-76 yang membawa pasukan payung terjun tentera udara Rusia di wilayah Vasylkiv yang terletak hanya 35 kilometer dari Kyiv.
Tentera Udara Ukraine berkata, sistem peluru berpandu pertahanan udara S-300 negara itu menembak jatuh sebuah helikopter Rusia di Donbass.
PBB minta tentera Rusia ‘kembali ke berek’
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, meminta tentera Rusia di Ukraine “kembali ke berek mereka.”
“Tentera perlu kembali ke berek mereka. Pemimpin perlu beralih kepada jalan perundingan dan keamanan,” katanya kepada wartawan selepas Moscow menggunakan kuasa veto terhadap resolusi PBB yang mengecam pencerobohan Rusia di Ukraine.
“Penting untuk ingat bahawa PBB bukan hanya dewan di belakang saya. Ia adalah puluhan ribu wanita dan lelaki di seluruh dunia.
“Berdiri, sampaikan, panjangkan talian harapan,” katanya. – TRTWorld




















