
PULAI: Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ustaz Abdullah Husin telah dinamakan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) N.54 Pulai Sebatang bagi PRN15 Johor yang akan bermula proses penamaan calon pada Sabtu ini.
Pengumuman pencalonan beliau dibuat oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis pengisytiharan calon-calon PN bagi PRN tersebut di di Dewan Kencanapuri, Pulai Springs Resort, di sini sebentar tadi.
Beliau dijangka akan bertembung dengan Hasruniza Hassan (BN) dan Suhaizan Kayat (PH) yang menyaksikan ketiga-tiga calon merupakan muka baru bagi DUN ini berdasarkan pengumuman calon yang telah dibuat.
Ustaz Abdullah tidak asing di mata masyarakat DUN ini memandangkan beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas DUN Pulai Sebatang yang telah berkhidmat sejak tahun 2020 hingga Januari 2022.
Pada PRU14, DUN Pulai Sebatang dimenangi oleh calon PKR, Taqiuddin Cheman dengan majoriti 3,395 undi selepas memperolehi 14,507 undi mengalahkan calon PAS, Dr Baharom Mohamad (2,975 undi) dan calon BN, Datuk Tee Siew Kiong (11,112 undi).

PH telah membentuk kerajaan setelah memenangi 36 kerusi pada PRU14 itu, manakala BN memperolehi 19 kerusi sementara PAS pula mendapat satu kerusi daripada 56 kerusi keseluruhan di dalam DUN Johor.
DUN Johor dibubarkan secara rasmi pada 22 Januari lepas dengan perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar selepas menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada hari sama.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengumumkan PRN15 Johor dijadualkan berlangsung dengan penamaan calon pada Sabtu, 26 Februari diikuti tarikh mengundi awal pada 8 Mac sementara pembuangan undi adalah pada 12 Mac. – HARAKAHDAILY 24/2/2022





















