Kelantan kongsi kegetiran umat Islam pertahan Palestin

- Advertisement -

Oleh NORZANA RAZALY

KOTA BHARU:
Rakyat Kelantan bukan sekadar merayakan sambutan Minggu Al-Quds, sebaliknya mewujudkan Laman Cakna Palestin bagi membolehkan orang ramai menghayati perjuangan rakyat mereka.

Mural yang memaparkan kisah perjuangan rakyat Palestin dilakar di belakang Pejabat Perhubungan PAS Kelantan dan bangunan berhampiran sejak 2015.

Lokasi itu yang turut dilengkapi pintu gerbang berciri Timur Tengah, menjadi tumpuan pelancong mengabadikan foto bersama rakyat Palestin.

- Advertisement -

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, laman tersebut memberi gambaran rakyat Kelantan turut berkongsi kegetiran perjuangan umat Islam bagi mempertahankan bumi Palestin.

Katanya perjuangan rakyat Palestin dijelmakan pada lakaran mural yang turut dikongsi rakyat Kelantan dan pelancong.

“Perjuangan tersebut turut dikongsi umat Islam di seluruh dunia. Ia menggambarkan betapa penting mewujudkan kesatuan umat Islam dalam aspek akidah.

“Kesatuan seperti inilah yang tidak disukai oleh rejim zionis,” katanya pada perasmian laman tersebut di Jalan Dato’ Pati hari ini.

Program tersebut merupakan sinergi Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) dengan Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia (Cakna Palestin).

Malah, bermula esok sehingga 5 Mac ini Cakna Palestin akan menganjurkan sambutan Minggu Al-Quds Sedunia.

Sementara itu Presiden Cakna Palestin, Wan Mohd Sharafi Wan Mustafa berkata, idea mewujudkan Laman Cakna Palestin tercetus pada tahun 2014.

Katanya, laman itu menjadi medan ikonik dan simbolik melalui ekspresi mural pada dinding seluas 6000 kaki persegi dan lantai dengan lukisan bermotif permaidani seluas 5800 kaki persegi.

“Ia hasil kreativiti Persatuan Seni Lukis Kelantan (PESENI) bersama Tangan Ajaib Studio dengan bantuan mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada akhir tahun 2015.

“Mural perintis di Mutiara Corner ini adalah ketandaan solidariti yang berterusan dan tidak berbelah-bagi seluruh watan Kelantan terhadap sahabat seakidah kita di Palestin,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/2/2022

- Advertisement -