
TAIPEI: Taiwan perlu meningkatkan pengawasan dan kewaspadaan terhadap aktiviti ketenteraan di rantau ini dan menangani maklumat salah asing, serta berhati-hati dengan pergerakan China di sekitar pulau itu, susulan krisis yang berlaku di Ukraine.
Presidennya, Tsai Ing-wen pada Rabu (23 Feb) dalam mesyuarat kumpulan kerja Majlis Keselamatan Negaranya mengenai krisis Ukraine berkata, semua unit keselamatan dan ketenteraan negara mesti meningkatkan pengawasan dan amaran awal perkembangan ketenteraan di sekitar Selat Taiwan.
Terdahulu, China yang mendakwa Taiwan sebagai wilayahnya sendiri, telah meningkatkan aktiviti ketenteraan berhampiran pulau tadbir sendiri itu sejak dua tahun lalu, walaupun Taiwan telah melaporkan tiada pergerakan luar biasa oleh tentera China sejak beberapa hari kebelakangan ini apabila ketegangan ke atas Ukraine telah meningkat.
“Taiwan dan Ukraine pada asasnya berbeza dari segi geostrategi, geografi dan rantaian bekalan antarabangsa,” kata Tsai dalam kenyataan media.
Menurut beliau, walau bagaimanapun dalam menghadapi kuasa asing yang berhasrat untuk memanipulasi keadaan di Ukraine dan menjejaskan semangat masyarakat Taiwan, semua unit kerajaan negara itu mesti mengukuhkan pencegahan peperangan kognitif yang dilancarkan oleh pasukan asing dan pihak tempatan yang berkolaborasi dengan mereka,” ujar kenyataan Tsai itu lagi.
Kenyataan itu tidak menyebut nama China, tetapi negara itu sememangnya merupakan ancaman asing paling ketara yang dihadapi Taiwan.
Tsai menubuhkan kumpulan kerja Majlis Keselamatan Negaranya mengenai krisis Ukraine pada bulan lalu dan telah menyatakan simpati terhadap situasi dihadapi negara itu ketika ini. – Reuters




















