
Susunan YUSMAN AWANG
Tidak leka dengan pencapaiannya sebagai salah sebuah negara termaju dan termoden di dunia, Jepun sebaliknya berusaha menimba ilmu pengetahuan daripada negara-negara lain di seluruh dunia.
Menyedari Arab Saudi sebagai antara ‘lubuk ilmu dan tradisi’ tertua di dunia, negara matahari terbit itu telah menubuhkan apa yang dikenali sebagai ‘Sekolah Jepun Jeddah’ sejak 1 Oktober 1975.
Sebagai fakta, di Jeddah sahaja terdapat 846 sekolah kerajaan dan swasta khusus untuk pelajar lelaki dan 1,179 sekolah kerajaan dan swasta untuk pelajar wanita.
Sekolah Jepun Jeddah atau Sekolah Antarabangsa Jepun Jeddah ini sebenarnya merupakan sebuah sekolah antarabangsa Jepun yang terletak di daerah Ar Rawdah, Jeddah, Arab Saudi.
Ia menjalankan aktiviti pendidikan berdasarkan kursus pengajian yang ditetapkan oleh kementerian pendidikan, kebudayaan, sukan, sains dan teknologi yang menggabungkan budaya dan tradisi Jepun dan Arab Saudi bermatlamat bagi mewujudkan warga global dengan ciri-ciri cemerlang.
Pengetua Sekolah Jepun Jeddah, Masahiro Mizogami berkata, sekolah berkenaan secara aktif mempromosikan pendidikan yang bertujuan untuk mengasuh kanak-kanak, dan memperkasakan mereka untuk mengambil inisiatif dalam setiap perkara yang mereka lakukan.
“Kami memupuk kualiti yang membolehkan murid-murid memainkan peranan yang aktif dan fleksibel dalam masyarakat antarabangsa, serta belajar menghargai budaya dan tradisi kedua-dua Jepun dan Arab Saudi,” ujarnya kepada Arab News.

Menurutnya, terdapat lima matlamat yang menjadi ciri Sekolah Jepun Jeddah. Matlamat yang pertama ialah melibatkan penyediaan pendidikan yang setara atau lebih baik daripada di Jepun, bertujuan untuk pemerolehan dan penggunaan bahasa Jepun yang betul.
“Yang kedua ialah mengadakan empat jam kelas perbualan bahasa Inggeris setiap minggu di sekolah rendah, dengan kelas dibahagikan mengikut kemampuan pelajar. Di sekolah menengah rendah, kelas perbualan bahasa Inggeris, sebagai tambahan kepada pembelajaran bahasa Inggeris, diadakan selama dua jam seminggu,” jelasnya.
Sebagai objektif ketiga pula, sekolah berkenaan berusaha untuk memanfaatkan saiznya yang kecil, menyediakan bimbingan terperinci di dalam kelas, mengukuhkan asas, meningkatkan pembelajaran perkembangan dan memberi pelajar keupayaan untuk mengekspresikan diri mereka.

“Matlamat keempat Sekolah Jepun Jeddah pula adalah untuk mengajar pelajar tentang ‘budaya dan geografi Arab’ untuk mendalami pemahaman mereka tentang rantau itu.
“Yang kelima dan terakhir, Sekolah Jepun Jeddah juga berusaha untuk menyampaikan pengetahuan kepada pelajarnya tentang budaya tradisional Jepun.
“Pelajar diminta berlatih bermain gendang Jepun dan lagu tradisional Jepun ‘Soran-bushi’ semasa kelas muzik, kelas pendidikan jasmani dan persembahan di festival Jepun,” jelas beliau.
Sekolah Jepun Jeddah juga mementingkan acara kebudayaan Jepun seperti festival Koinobori (carp streamer), pertandingan kaligrafi dan pesta baling kacang.
Hubungan akrab ekonomi Jepun-Arab Saudi
Justeru, tidak menghairankan Jepun dan Arab Saudi memiliki hubungan yang sangat akrab dalam hubungan dua hala ekonomi.
Sehubungan itu, Arab Saudi baru-baru ini mengambil bahagian dalam seminar tenaga kereta yang mempamerkan teknologi Jepun terkini yang direka untuk mengurangkan penggunaan dalam sektor pengangkutan.
Institut Tinggi Automobil Jepun Saudi di Jeddah telah menganjurkan acara yang dianjurkan oleh Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun dengan kerjasama Persatuan Pengilang Automobil Jepun, Pusat Pemuliharaan Tenaga Jepun, Pusat Kecekapan Tenaga Saudi dan KSN Corp.
Simposium itu bermatlamat bagi mengkaji kecekapan tenaga kenderaan di Arab Saudi, usaha berkaitan untuk menangani perubahan iklim, cara untuk meningkatkan peranan belia dalam industri, dan kesedaran awam dan inisiatif pendidikan yang bertujuan mempromosikan kaedah pemacu ekonomi.
Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun telah mencadangkan penganjuran acara itu di Institut Tinggi Automobil Jepun Saudi sebagai mengiktiraf peranan pentingnya dalam memindahkan penyelenggaraan dan teknologi kereta Jepun kepada belia Saudi selama lebih 20 tahun. – HARAKAHDAILY 23/2/2022




















