
KREMLIN: Presiden Rusia, Vladimir Putin, mengiktiraf kemerdekaan dua wilayah dikuasai puak pemisah di timur Ukraine walaupun berdepan amaran Barat bahawa tindakan itu bakal mengundang sekatan.
Pengumuman penuh emosi Presiden Rusia disiarkan oleh stesen televisyen milik kerajaan, semalam, sebelum beliau menunjukkan perjanjian untuk membantu pemimpin kumpulan pemisah.
“Saya percaya keputusan yang sudah lama tertangguh ini penting, iaitu dengan serta merta mengiktiraf kemerdekaan dan kedaulatan Republik Rakyat Donetsk dan Republik Rakyat Lugansk,” katanya.
Putin yang memaklumkan kepada pemimpin Perancis dan Jerman berhubung keputusannya sebelum membuat pengumuman itu, berkata beliau akan menandatangani watikah pengiktirafan wilayah yang berpisah dari Ukraine sebagai negara merdeka.
Semalam, pemimpin kumpulan pemisah Donetsk dan Luhansk, merayu Putin supaya Moscow mengiktiraf kemerdekaan wilayah berkenaan.
Parlimen Rusia juga meminta Putin mengiktiraf wilayah pro-Moscow berkenaan yang mengisytiharkan bebas dari pemerintahan Kiev selepas revolusi pro-Kesatuan Eropah (EU) Ukraine pada 2014.
Perancis, Jerman kecewa
Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell, pula berkata blok itu akan mengenakan sekatan terhadap Rusia berikutan keputusan Putin mengiktiraf kemerdekaan dua wilayah pemisah itu.
Beberapa minit sebelum Rusia mengumumkan keputusan itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa semua pihak mengelakkan mengambil tindakan sebelah pihak yang akan melemahkan kedaulatan wilayah Ukraine.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Canselor Jerman, Olaf Scholz, pula melahirkan kekecewaan berhubung keputusan itu dalam perbualan telefon dengan Putin. Macron turut memanggil mesyuarat tergempar Kabinetnya untuk membincangkan isu itu.
Keputusan mengiktiraf kemerdekaan wilayah berkenaan muncul ketika konflik Ukraine tiba-tiba semakin meruncing. Semalam, Moscow mendakwa membunuh lima rakyat Ukraine yang dikatakan cuba melakukan sabotaj dengan melintasi sempadan.
Bagaimanapun, Kiev menolak dakwaan itu yang dikatakan siri berita palsu.
Pemimpin kumpulan pemisah di wilayah yang majoriti penduduk etnik Rusia pula dikatakan merayu bantuan ketenteraan untuk melindungi mereka dari tindakan yang didakwa sebagai ancaman ketenteraan Ukraine.
Pihak berkuasa Ukraine menafikan dakwaan itu dan sebaliknya menuduh Rusia melakukan provokasi dengan meningkatkan bedilan di sepanjang sempadan memisahkan kedua-dua negara. – TRTWorld




















