
RIYADH: Buat pertama kalinya, pada hari ini, Selasa (22 Feb) kerajaan Arab Saudi menyambut ulang tahun hari penubuhan negara yang pertama, dikenali sebagai Hari Penubuhan (The Founding Day).
Hari Penubahan itu meraikan penubuhan negara Arab Saudi pertama dikenali sebagai, Emirat Diriyah oleh Imam Muhammad Bin Saud pada tahun 1727, yang berlaku pada Februari tahun itu.
Walaupun Imam Muhammad mula berkuasa di Diriyah pada 1727, penubuhan Negara Arab Saudi Pertama secara rasminya sebelum ini adalah pada 1744.
Pada tahun inilah beliau bersekutu dengan Syeikh Muhammad Bin Abdul Wahab, yang mengetuai gerakan yang menyeru untuk kembali kepada versi Islam yang sebenar.
Sebelum ini, disebabkan dalam tempoh sebelumnya tiada dokumentasi rasmi, 1744 dianggap sebagai tarikh permulaan negara Saudi yang pertama. Ini kerana ramai ahli sejarah telah mengabaikan 17 tahun awal pemerintahan Imam Muhammad dan era sebelumnya, walaupun ia adalah tempoh asas sebenar negara Arab Saudi.
Kepentingan tahun 1727 dalam sejarah Arab Saudi telah menjadi lebih ketara sejak akhir-akhir ini memandangkan penyelidikan meluas yang dijalankan oleh ahli sejarah dan ahli arkeologi negara itu.

Justeru dalam konteks ini, pada 27 Jan 2022, Penjaga Dua Masjid Suci Saudi, Raja Salman Bin Abdulaziz Al Saud telah mengeluarkan titah diraja untuk meluluskan dan memperingati 22 Februari setiap tahun mulai tahun ini sebagai Hari Penubuhan Arab Saudi, tarikh yang bertepatan dengan penubuhan negara Saudi pertama tiga abad (300 tahun) lalu.
Kandungan titah diraja itu menyebut bahawa tindakan itu adalah atas ‘kerana bangga dengan akar umbi negara ini (Arab Saudi) dan hubungan rapat rakyatnya dengan pemimpinnya sejak era Imam Muhammad Bin Saud tiga abad lalu’.
“Dekri itu menyatakan bahawa ini datang untuk mengukuhkan ikatan rakyat dengan akar umbi mereka yang bermula sejak 1727. Justeru 22 Februari, 2022 dipilih sebagai hari di mana ingatan akan dipulihkan, dan ia akan diterima pakai sebagai hari cuti kebangsaan rasmi,” titah Raja Salman.
Sambutan Hari Penubuhan Arab Saudi itu akan berlangsung selama tiga hari sehingga Khamis (24 Feb) ini dengan pelbagai aktiviti termasuk pertunjukan di udara dan pesembahan seni tradisional. – Saudi Gazette
.




















