
NEGARA tiba-tiba diheret dengan sikap ekstrem beberapa individu khasnya dari DAP dengan isu tiga kanak-kanak Muslim di Perlis. Mungkin ramai yang kurang jelas isu tersebut, malah ada yang terkeliru dengan dakyah dan manipulasi kumpulan yang tiba-tiba kononnya menyelamatkan kanak-kanak yang diislamkan.
Tulisan ini tidak bertujuan menceritakan kronologi peristiwa kerana pembaca boleh mencari bahan yang telah pun banyak dilambakkan di media. Apa yang penting ialah kita memahami agenda tersembunyi dari isu ini.
Jika kita telah melihat kronologi peristiwa, maka tentunya kita faham bahawa ia isu yang dimanipulasikan oleh beberapa individu ekstrem khasnya pemimpin DAP, Dr P Ramasamy yang pernah didakwa terlibat dengan puak ekstrem LTTE. Isu ini turut mendapat dukungan beberapa pimpinan DAP yang lain. Ia juga ‘disokong’ oleh beberapa pimpinan PAN kononnya atas isu perlembagaan dan undang-undang.
Kita menyedari bahawa di India sedang berlaku penindasan agama oleh pemerintah India. Pelajar Muslim bertudung dilarang masuk ke sekolah. Ia merupakan provokasi dan penindasan hak asasi manusia. Apa yang dikesalkan, sentimen ini seakan sengaja dibawa oleh Ramasamy dan rakan-rakan khasnya dari DAP yang merupakan komponen PH ke negara kita. Mereka menjadikan isu tiga kanak-kanak yang dimuslimkan atas kehendak ayah yang menjaga mereka sekian lama.
Kumpulan Ramasamy dilihat mengambil kesempatan dengan mengheret ibu kanak-kanak terbabit yang selama ini tidak pernah peduli mengenai anak-anaknya. Tiba-tiba ia menjadi seorang ibu yang kononnya sangat mengambil berat mengenai anaknya.
Isu ini dilihat hanyalah sebagai batu loncatan Ramasamy dan kumpulannya untuk mencetuskan kekalutan dalam negara. Umum mengetahui bahawa isu agama adalah isu yang sensitif. Telah kelihatan komen-komen balas dari orang Islam sebagai reaksi dan tindak balas dari NGO, parti politik dan netizen terhadap provokasi tersebut.
Kumpulan Ramasamy telah mengapikan isu ini dalam medium massa khasnya yang dalam bahasa Tamil. Provokasi ini telah menyebabkan komen berunsur ugutan dan jenayah kepada Ustazah yang bertanggungjawab menjaga kebajikan kanak-kanak tersebut selama ini.
Sudah ada yang membayangkan gambaran peristiwa ini ulangan kes Natrah yang mencetuskan kebangkitan Muslim di Singapura di era menjelang kemerdekaan negara. Pihak British berperanan ‘merampas’ Natrah dan Belanda menyempurnakan drama ini dengan provokasi agama.
Ia mencetuskan kebangkitan orang Islam dan perjuangan menyelamatkan akidah Natrah. Natrah akhirnya telah dirampas dari suami dan keluarga angkatnya serta dimurtadkan tanpa rela.
P Ramasamy ‘dilihat’ mengambil kesempatan isu ini untuk menyemarakkan dan membawa sentimen agama dari India. Dengan menggunakan lompang undang-undang yang ada, ia cuba mencetuskan ‘Natrah kedua’ di negara kita.
Adalah diharapkan pihak berkuasa negara segera mengambil tindakan sebelum suhu kemarahan itu kian memuncak. Dalam masa yang sama beberapa peruntukan undang-undang negara yang dilihat longgar mestilah segera diperkemaskan.
FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik Pesuruhjaya PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 21/2/2022




















