Pelajar berhijab diserang di sekolah: 40,000 tandatangani petisyen

Sebahagian pelajar di Otago Girls' High School, Dunedin, New Zealand - (GAMBAR HIASAN)
- Advertisement -

DUNEDIN, NEW ZEALAND: Lebih 40,000 orang telah menandatangani petisyen bagi menuntut keadilan buat seorang remaja perempuan Islam, Hoda Al-Jamaa yang diserang oleh beberapa pelajar lain di sekolahnya, Otago Girls’ High School di sini pada 9 Feb lalu.

Sejak dilancarkan semalam (17 Feb), lebih 42,000 individu menandatangani petisyen, Change.org yang menggesa agar sekolah tersebut segera menangani kejadian itu, selain meminta orang ramai bersatu menentang kebencian dan ketaksuban sesetengah individu yang dikaitkan dengan jenayah kebencian terhadap Islam atau Islamofobia.

- Advertisement -

Hoda,17, dalam kenyataannya kepada NRZ sebelum ini, memberitahu dia sedang duduk bersama dua rakan pelajar Islam lain di sekolah itu apabila tiga pelajar bukan Islam menghampiri mereka memaksa agar menuturkan beberapa perkataan carutan dalam bahasa Arab.

Apabila Hoda dan rakan-rakannya enggan melakukannya, tiga pelajar berkenaan terus menyerang Hoda dan rakan-rakannya. Namun yang paling teruk diserang ialah Hoda apabila tudungnya ditanggalkan, serta dipukul di bahagian kepala, muka, leher dan bahu menyebabkan kecederaan gegaran otak yang serius.

Lokasi kejadian Hoda dan dua rakannnya yang merupakan pelajar Islam berhijab yang diserang oleh tiga pelajar bukan Islam.

Kejadian itu turut dirakam dan video itu dikatakan tular dalam kalangan pelajar lain. Susulan kejadian, Hoda dikejarkan ke hospital oleh bapanya kerana pihak sekolah tidak menghubungi ambulans ke lokasi kejadian.

Malah selepas kejadian itu, tiga pelajar yang menyerang Hoda dan rakan-rakannya itu berterusan melakukan tindakan anti-Islam terhadap pelajar-pelajar Islam lain di sekolah itu dengan meludah dan menunjuk jari tengah sambil menjerit perkataan, ‘pengganas’.

Kejadian yang menimpa Hoda itu turut menarik perhatian beberapa nama berpengaruh di peringkat global termasuk model berketurunan Palestin, Bella Hadid dan selebriti media sosial, Khaled Beydoun yang menggunakan pengaruh populariti mereka agar keadilan buat Hoda diperjuangkan masyarakat Islam di seluruh dunia.

Insiden yang menimpa Hoda turut meraih perhatian model keturunan Palestin, Bella Hadid yang melalui Instagramnya menyeru keadilan terhadap pelajar Islam wanita berusia 17 tahun itu perlu diperjuangkan.

Sehubungan itu, pihak polis New Zealand berkata, tiga pelajar wanita yang menyerang Hoda dan rakan-rakannya itu sudah dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Pada hari Rabu 9 Februari, sekumpulan pelajar Islam dari Otago Girls’ High School diserang secara lisan dan fizikal oleh tiga pelajar perempuan lain yang kesemuanya berumur dalam lingkungan awal remaja.

“Dalam serangan itu, tudung salah seorang pelajar ditanggalkan dari kepalanya. Kemungkinan video kejadian itu tular di media sosial amat membimbangkan kami,” ujar polis.

Menurut polis lagi, kejadian itu bukan sahaja menyebabkan keresahan dalam kalangan mangsa dan pelajar-pelajar Islam lain di sekolah itu dan keluarga mereka, tetapi juga buat seluruh masyarakat Islam yang menetap di New Zealand.

“Kami akan menangani insiden ini dengan segera dan berhati-hati. Keganasan atau tingkah laku yang mengancam termasuk apa-apa yang melibatkan kebencian, permusuhan, atau prasangka terhadap kaum, kepercayaan (agama), orientasi seksual, identiti jantina, ketidakupayaan atau umur tidak boleh diterima sama sekali di negara ini.

“Kami meminta sesiapa sahaja yang percaya mereka telah menjadi mangsa jenayah kebencian untuk menghubungi kami di talian 105, atau jika anda berada dalam bahaya sila hubungi 111,” kata polis. – Agensi

- Advertisement -