Perenang mati diserang jerung, Pantai Sydney ditutup

- Advertisement -

SYDNEY: Beberapa pantai yang menjadi tumpuan ramai di sini, termasuk Bondi dan Bronte, ditutup hari ini, selepas seorang perenang maut diserang jerung, kejadian pertama menyebabkan kematian di pantai kota ini dalam tempoh hampir 60 tahun.

Pihak berkuasa juga memasang rantai bebola yang digunakan untuk mengumpan jerung berhampiran kawasan serangan bagi mengesan kehadiran haiwan itu.

- Advertisement -

Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan jerung menyerang perenang di Pantai Little Bay, kira-kira 20 kilometer di selatan bandar terbesar di Australia dan berhampiran pintu masuk Botany Bay. Polis masih belum mendedahkan identiti mangsa.

“Kejadian itu cukup mengejutkan masyarakat kita. Pantai ibarat halaman rumah kita dan kematian tragik mangsa cukup menakutkan,” kata Datuk Bandar Majlis Randwick, Dylan Parker.

Serangan itu berlaku beberapa hari sebelum program amal, Renang Lautan Rose Malabar Magic yang akan dihadiri ribuan perenang di pantai berhampiran.

Penganjur berkata, mereka memantau kejadian itu dan jika dibatalkan, program itu akan ditunda kepada 6 Mac depan.

Jurucakap Jabatan Perusahaan Utama New South Wales berkata, ahli biologi haiwan percaya jerung putih dengan panjang sekurang-kurang tiga meter terbabit dalam serangan itu. Mengikut data, serangan ini adalah kali pertama di Sydney sejak 1963.

Pihak berkuasa turut mengarahkan orang ramai tidak berada dalam air berikutan suhu musim panas mencecah 30 darjah celcius.

“Terdapat segelintir peluncur mengambil risiko pergi ke laut, tetapi kebanyakan orang memberi perhatian terhadap arahan pihak berkuasa. Lebih baik tidak berada di pantai sehingga jerung ganas tiada lagi di situ,” kata penduduk tempatan, Karen Romalis. – REUTERS

- Advertisement -