
KUALA LUMPUR: Sekali lagi dalam minggu ini Senator Datuk Idris Ahmad berada di Melaka dalam melunaskan tanggungjawab dan amanah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Menurutnya, pada kunjungan hari ini, beliau berbesar hati dan teruja bertemu dengan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Rustam, dalam kunjungan hormat delegasi pejabatnya.
Katanya, keterujaan beliau bersama Pasukan Menteri Agama di dalam pertemuan itu membuka buah fikiran, perkongsian isu, percambahan minda dalam melihat ruang kerjasama dalam memantapkan lagi kedudukan yang terbaik bagi semua perkara yang berkaitan dengan kesucian agama Islam yang menjadi teras pengukuhan bagi rakyat negeri itu khususnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya.
“Saya meneliti dan mengambil berat semua perkara yang dibincangkan tadi dalam konteks isu sosial anak muda, isu yang melibatkan pemerkasaan syariah dan pelbagai lagi perkara yang berkaitan dan akan diterjemahkan dalam bentuk tindakan semaksimumnya demi agama yang kita cintai,” ujarnya dalam hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan ribuan penghargaan kepada Tun Mohd Ali yang sudi menerima kunjungan hormat pihaknya yang juga ditemani oleh Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar serta para pegawainya.
“Semoga pertemuan ini akan mengeratkan lagi hubungan dua hala Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Melaka dalam memperkukuhkan agenda Islam yang amat kita cintai ini, insya-Allah,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 17/2/2022











