Penunjuk perasaan terbunuh: Bekas pegawai kanan Sudan ditahan

- Advertisement -

KAHERAH: Pihak berkuasa tentera Sudan telah menahan seorang bekas pegawai kanan kerajaan buat kali kedua, susulan sekurang-kurangnya dua penunjuk perasaan terbunuh pada Isnin (14 Feb) ketika menyertai beribu-ribu penduduk dalam protes anti-rampasan kuasa tentera di negara itu.

Parti Perikatan Kesatuan Sudan dalam kenyataannya berkata, Mohammed Al-Faki Suleiman, bekas anggota Majlis Berdaulat kerajaan yang memerintah  telah ditahan pada Ahad (13 Feb) di ibu negara Khartoum. 

- Advertisement -

“Pasukan keselamatan memberhentikan kenderaan Mohammed Al-Faki Suleiman ketika beliau dalam perjalanan dari rumahnya ke ibu pejabat parti,” ujar kenyataan tersebut.

Suleiman juga merupakan timbalan ketua sebuah agensi yang dikendalikan kerajaan yang ditugaskan untuk membongkar legasi rejim bekas Presiden autokratik, Omar Al-Bashir.

“Pasukan keselamatan turut menahan dua bekas anggota agensi itu, juga pada Ahad,” dedah seorang pegawai keselamatan yang tidak mahu namanya disiarkan. 

Agensi itu dikenali sebagai Jawatankuasa Pembongkaran Rejim pada 30 Jun 1989, merujuk kepada rampasan kuasa tentera yang disokong Islam yang memberikan kuasa pemerintahan kepada Al-Bashir sebelum ini.

Pegawai itu berkata, ketiga-tiga individu yang telah ditahan itu dibawa ke penjara Souba di Khartoum. 

“Ketiga-tiga mereka yang ditahan itu menghadapi pertuduhan berkaitan gerak kerja agensi itu, yang dibubarkan tentera berikutan pengambilalihan kerajaan pada 25 Okt 2021,” ujarnya.

Sebelum ini, Suleiman telah ditahan dalam satu rampasan kuasa dan dibebaskan sebulan kemudian sebagai sebahagian daripada perjanjian antara tentera dan Perdana Menteri ketika itu Abdalla Hamdok.

Sekitar protes anti-kerajaan rakyat terhadap tentera yang kini mengambil alih pemerintahan Sudan di bandar Umdurman pada 14 Februari 2022.

Penahanan beliau adalah yang terbaharu daripada beberapa kes bekas pegawai dan aktivis kerajaan yang ditahan dalam beberapa minggu kebelakangan ini ketika pemerintah tentera meningkatkan tindakan keras terhadap kumpulan anti-rampasan kuasa.

Minggu lalu, pihak berkuasa juga menahan semula Khalid Omar, seorang menteri dalam kerajaan peralihan yang digulingkan. Omar merupakan seorang pemimpin dengan pembangkang Parti Kongres Sudan.

Turut ditahan ialah Wagdi Saleh, seorang lagi ahli jawatankuasa parti berkenaan. 

Parti itu berkata pihak pendakwa memerintahkan bahawa Omar dan Saleh kekal dalam tahanan selama 15 hari lagi tanpa memberikan butiran lanjut.

Penahanan bekas anggota kerajaan negara itu semakin diperhebatkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini apabila Sudan semakin bergolak dengan protes jalanan hampir setiap hari sejak rampasan kuasa tersebut Oktober tahun lalu. – Agensi

- Advertisement -