
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Krai, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman mengambil peluang berada di Perlis menziarahi Al-Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin, kelmarin.
Menurutnya, banyak kata mutiara yang disuntikkan dalam pertemuan ringkas itu.
“Beliau turut mengimbau kenangan sewaktu menghadiri persidangan di Baghdad pada tahun 1994 dan letupan bom patriot di Hotel Ar-Rasheed,” ujarnya dalam hantaran di laman Facebooknya.
Ketika itu, rombongan PAS diketuai oleh Almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Noor dan disertai oleh Almarhum Ustaz Hassan Shukri dan Almarhum Ustaz Azhari Razak.
Menurut Abdul Latiff, pada waktu itu beliau berada di tahun 2 dan turut menyertai Persidangan Gerakan Islam Antabangsa yang dianjurkan oleh Kerajaan Iraq.
“Semoga Allah memberikan kesihatan dan keafiatan yang sebaiknya kepada Tuan Guru,” katanya.
Pada hantaran yang lain, beliau memberitahu turut merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Anak Kelantan Di Perantauan (Perakan) Kangar kali ketujuh yang diadakan di Dewan Madrasah Addiniah Al-Islamiah (MADI), Jejawi.
Beliau yang berbesar hati atas jemputan tersebut menyatakan Perakan mempunyai peranan yang sangat besar dalam mengekalkan kerajaan Kelantan lebih 30 tahun.
“Saya juga menghargai peranan Perakan dalam menjaga kebajikan dan kesatuan anak-anak Kelantan di perantauan,” katanya.
Abdul Latiff turut berpeluang beramah mesra dengan anak-anak Kelantan di Perlis termasuk dari Kuala Krai. AlhamdulilLah.
Turut bersama ialah Adun Gaal, Ustaz Rodzi Jaafar dan wakil Perakan Pusat, Ustaz Abdul Fattah Zakaria.
“Terima kasih kepada sahabat-sahabat Perakan Kangar atas jemputan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 15/2/2022











