Ternakan ikan sangkar terjejas aktiviti sedut pasir

- Advertisement -

TEMERLOH: Pihak berwajib dimohon untuk memberi perhatian dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap nasib para pengusaha ikan dalam sangkar yang berdepan masalah akibat aktiviti menyedut pasir di Kampung Pangsenam, di sini.

Rata-rata mereka menanggung kerugian yang banyak sejak operasi menyedut pasir tersebut dijalankan 8 tahun lalu bermula 2014 hingga menyebabkan banyak kesukaran mengusahakan ternakan di Sungai Pahang itu.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh, Md Jusoh Darus berkata, kini banyak sangkar para penternak itu kosong dan kekeringan akibat aktiviti menyedut pasir yang menyebabkan perubahan kedalaman air sungai.

Menurutnya yang menerima aduan daripada para pengusaha tersebut, keadaan semulajadi sungai itu telah terjejas hingga menyebabkan penternakan juga terganggu, sedangkan dahulunya tidak terjadi demikian.

Seorang pengusaha, Syed Basri Syed Satari yang mengusahakan sejak tahun 2003 memberitahu, kini sangkar-sangkarnya tersadai di atas darat dan aduannya kepada pihak berkaitan tetap tidak diendahkan.

Manakala Azha Abdul Malek memberitahu, modalnya semakin berkurang setelah pula aduan rasmi dibuat kepada pihak berwajib juga tidak menerima tindak balas sepatutnya bagi menangani masalah dihadapi mereka.

“Saya ada cadang supaya pam pasir itu dialihkan jauh sedikit daripada sangkar ternakan ikan kami,” ujarnya kecewa hal tersebut telah berlarutan selama 8 tahun.

Naib Yang Dipertua PAS Temerloh, Hasan Omar berharap pihak berwajib memberi perhatian serius terhadap permasalahan itu kerana ia merupakan mata pencarian pengusaha terbabit yang merupakan penduduk tempatan.

Katanya, kegiatan menyedut pasir itu menggugat perniagaan dan kehidupan para pengusaha ternakan ikan sangkar terbabit di mana sewajibnya penyelesaian dapat dilaksanakan pihak berkenaan bagi menanganinya. – HARAKAHDAILY 13/2/2022

- Advertisement -