Kerajaan prihatin: Sagu hati batal umrah dibayar 18 Feb

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyalurkan pembayaran sagu hati sebagai tanda keprihatinan kepada jemaah umrah yang terpaksa membatalkan pemergian ke Tanah Suci akibat penularan jangkitan virus Omicron bermula 8 Januari yang lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, beliau bersetuju agar pembayaran sagu hati hanya dikreditkan menggunakan akaun simpanan Tabung Haji (TH) para jemaah umrah bagi memudahkan urusan.

- Advertisement -

Menurutnya, ini berdasarkan mesyuarat terkini yang telah diadakan di antara Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Kewangan Malaysia dan TH.

“Untuk makluman semua, MOTAC telah menyerahkan senarai nama sebanyak 8,027 jemaah umrah yang terkesan dan layak menerima sagu hati kepada TH,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Daripada jumlah tersebut, jelasnya pihak TH mendapati seramai hampir 1,000 jemaah umrah masih belum mempunyai akaun simpanan TH.

Tambahnya, pengkreditan terus sagu hati sebanyak RM1,671 seorang ke dalam akaun simpanan TH akan dibuat pada 18 Februari ini.

“Oleh kerana kaedah bayaran adalah melalui akaun simpanan TH, maka saya menyeru semua jemaah umrah yang masih belum mempunyai akaun simpanan TH diminta untuk membuka akaun TH sebelum 18 Februari 2022,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, para jemaah umrah boleh melayari www.thijari.com.my untuk membuka akaun simpanan TH secara dalam talian dan hadir ke kaunter TH yang terdekat bagi proses pengaktifan akaun secara biometrik.

Tambahnya, bagi mereka yang mempunyai kesukaran untuk mendaftar secara atas talian, boleh terus ke cawangan TH terdekat untuk tujuan pendaftaran dan akan dibantu sebaiknya oleh semua kakitangan di cawangan-cawangan TH.

Katanya lagi, para jemaah yang terkesan akan dilayan dengan serta merta tanpa perlu beratur dan menunggu lama.

“Saya juga telah memaklumkan kepada pihak TH supaya segala tuntutan pembayaran ini akan dipermudahkan semaksimumnya supaya tidak berlaku kesulitan yang besar terhadap tuntutan ini.

“Semoga semua urusan para penerima dipermudahkan oleh Allah SWT,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 13/2/2022

- Advertisement -