
KUALA LUMPUR: PAS menyuarakan mengenai pendemokrasian dan pemerkasaan Parlimen adalah untuk mengkuasakan seluruh rakyat, demikian kata Ketua Penerangan PAS, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin.
Begitu juga mengenai memperjuangkan hak wanita ujarnya, PAS paling banyak menyatakan perkara itu dalam Parlimen sesuai keistimewaan dan penghormatan diberikan Islam kepada golongan itu.
Bahkan PAS menurutnya, membawa visi besar untuk menjadikan negara ini bebas karbon pada tahun 2050 yang cuba dijayakan menerusi Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) diterajui Menteri dari PAS.
Inisiatif lain turut dikemukakan PAS beritahunya, adalah memberi bebas cukai kepada kenderaan hibrid dan elektrik di mana beliau sendiri antara bercakap mengenai tajuk tersebut dalam perbahasan di Parlimen.
“Saya sendiri bercerita tentang perlunya mengurangkan penggunaan arang batu, dan digantikan dengan tenaga hidrogen untuk memastikan sumber tenaga dijana untuk elektrik adalah sumber tenaga bersih, bebas daripada pencemaran,” ujarnya.
Maklum beliau, Ahli Parlimen PAS turut terlibat dalam integriti dan pemerkasaan Parlimen antaranya menerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) iaitu Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dari Pasir Mas yang juga Ketua Pemuda PAS Pusat.
Tegasnya, PAS juga menyuarakan kepentingan semua rakyat dan tidak hanya kelompok atau kepada hal ehwal Melayu-Islam sahaja, antaranya bukan sahaja mengenai hak agama kaum lain, tetapi juga berkenaan kebebasan berpendidikan.
Jelas beliau, hak seperti itu diperjuangkan kerana ia peruntukan yang diberi dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu dalam Perkara 11 dan Perkara 12, selain PAS sentiasa terbuka untuk berdialog atau mendengar pandangan.
Pun demikian, beliau mengakui banyak perkara diperjuangkan PAS yang menunjukkan keterbukaan parti itu dan jaminan kepentingan awam serta negara tersebut tidak sampai ke pengetahuan kebanyakan rakyat.
“Cuma masalahnya success story itu tidak sampai kepada kawan-kawan Chinese kita di Kuala Lumpur, di Selangor, di Johor, di kawasan Selatan. Ia hanya berlingkar pada kawasan Timur ataupun Utara sekarang ini atau Malay Belt,” ujarnya.
Selain itu akui jurutera teknologis inj, atas tanggungjawab dipikul, beliau merasakan cabaran besar ketika ini adalah untuk menarik minat rakyat kepada memahami politik yang sebenar.
“Saya tidak bimbang kepada adik-adik Undi18 sebab mereka ini lahir di dalam sistem pendidikan negara. Ya, ada lebih, ada kurang. Tetapi itu tugas kita untuk mendidik mereka tentang politik. Yang saya bimbang adalah kita yang adult.
“Kita yang dah matang, tetapi kita masih lagi dalam doktrinasi, Cina untuk Cina, Melayu untuk Melayu, India untuk India. Kalau ini keadaannya, bila kita nak menjadi negara maju? Kita masih lagi ada ketakutan.
“Ini orang Melayu, ini orang Cina, tak boleh percaya, ini orang India tak boleh percaya. Kalau berlakunya ketidakpercayaan, bukankah itu satu masalah tamadun? Satu masalah yang besar, bukan masalah kecil,” ujarnya menjentik fikiran.
Menepis momokan ketakutan yang dibuat kepada PAS mengenai Pindaan RUU355, beliau menegaskan bahawa ia dilakukan secara berpelembagaan di Parlimen dan bukannya secara jalan belakang.
Malah jelasnya, RUU355 membabitkan usaha memperkasakan Mahkamah Syariah serta peruntukan di bawahnya di mana ia dapat mencegah atau menakutkan individu atau pihak supaya tidak berbuat kejahatan.
“Kalau you tak buat jahat, kenapa you nak takut? Dan RUU355 adalah untuk orang Islam, kenapa orang Cina takut? Ataupun ada kalangan bangsa lain ini mereka buka kelab malam, buka kelab pelacuran, dan pelanggannya adalah orang Melayu.
“Kami buat RUU355 untuk menjaga orang Islam, kenapa orang lain takut? Kalau dia buat pelacuran, dia minum arak, salah dari sudut Islam. Bila salah dari sudut Islam, bukankah hak orang Islam untuk menghukum orang Islam?
“Malangnya RUU355 ini didoktrinkan itu hudud (untuk menakutkan), tak betul. Ini adalah Perlembagaan. Jadi, kita duduk dalam satu masyarakat yang sebegini, kalau masih lagi bermain dengan persepsi, kita tidak akan menjadi negara maju.
“Mana-mana negara maju adalah negara yang di mana rakyatnya berpendidikan, rakyatnya akan menolak ahli-ahli politik yang membawa budaya perkauman. Ini negara maju. Negara maju ialah negara yang mereka berjuang pada kerangka Perlembagaan,” ujarnya.
Bahkan kata Khairil Nizam, PAS terbuka terhadap pihak yang mencabar usaha pindaan itu dengan mengheretnya ke mahkamah sesuai demokrasi dan prinsip keluhuran Perlembagaan sedia termaktub.
Demikian itu jelasnya, sesiapa sahaja mahu membawa perkara itu ke mahkamah dipersilakan sebagai hak kewarganegaraan, asalkan tindakan tersebut berada dalam kerangka undang-undang.
“It is a rule of law. Maknanya dalam negara demokrasi sebegini, kita ada hak masing-masing. So kalau you tak puas hati, you bawa kepada mahkamah, silakan.
“Sebab kita ada prinsip keluhuran perlembagaan, dan kedaulatan undang-undang dia berjalan secara selari,” ujarnya.
Beliau melahirkan keyakinan, sekiranya rakyat majmuk negara ini dapat dididik dengan politik sebenar, tidak akan timbul isu PAS dilihat sebagai parti konservatif di sebalik segala pendekatan dan pencapaiannya.
Bahkan menurutnya, PAS konsisten meluaskan peranannya ke seluruh pelusuk negara sebagaimana dibuktikan melalui usahanya bertanding kerusi pilihan raya bukan sahaja di Semenanjung, tetapi juga sebelum ini di Sarawak.
“Ini menunjukkan bahawasanya kalau PAS diberikan lebih masa, lebih kuasa, kita akan memberikan yang terbaik kepada rakyat dan rakan-rakan daripada bangsa lain jangan takut, sebab inilah inclusiveness PAS,” ujarnya memberi keyakinan. – HARAKAHDAILY 13/2/2022




















