
Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: “Bekerjalah di waktu singkat untuk rehat di waktu panjang.”
Demikian antara ungkapan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor apabila ada pihak bertanyakan kepenatan dirinya dengan tugasan sebagai ketua kerajaan negeri.
“Saya teringat nasihat paling besar Almarhum Ustaz Azizan Abdul Razak tinggalkan kepada saya iaitu bekerjalah di waktu singkat untuk rehat di waktu panjang,” ujar beliau melalui laman sosialnya.
Katanya, setiap individu perlu amanah dalam memikul tanggungjawab berdasarkan jawatan atau kedudukan dipegangnya.
“Kita bekerja sungguh-sungguh semasa hidup di dunia ini supaya di akhirat nanti kita menikmati kerehatan, tak dak penat dah,” tambah beliau.
Katanya, almarhum bekas Menteri Besar Kedah itu pernah berkata, beliau merasa berdosa sekiranya berfikir tentang dirinya selain amanah yang dipertanggungjawabkan.
Almarhum juga berkata, pada ketika dibayar gaji sebagai Menteri Besar, berdosa mengambil kesempatan untuk fikir perkara lain yang di luar tanggungjawabnya, apatah lagi untuk kepentingan diri sendiri.
“Didikan almarhumlah yang telah menjadi ramuan, resepi dan pegangan untuk saya melaksanakan tanggungjawab sebagai Menteri Besar Kedah hari ini,” tegasnya lagi.
Justeru ujar beliau, biarlah dilihat penat, yang penting amanah ditunaikan sedaya upaya untuk memastikan kebajikan seluruh rakyat terbela tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
“Biaq nampak macam penat, sebab saya nak berehat kat sana (akhirat) bersama murabbi saya, Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 12/2/2022











