Muafakat politik perlu rai parti pelbagai kaum

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR:
Persefahaman politik Melayu-Islam perlu melibatkan politik pelbagai kaum dalam kalangan parti yang tidak ekstrem ke arah Malaysia yang lebih harmoni.

Perkara itu dicadangkan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang berhasrat agar muafakat politik tidak hanya tertumpu kepada sesuatu kaum atau bangsa semata-mata.

Menurut beliau, muafakat politik perlu menyeluruh membabitkan semua negeri di bawah naungan partinya itu.

- Advertisement -

“Muafakat mesti menyeluruh melibatkan negeri-negeri di bawah PAS seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, berkata pihaknya turut menyambut baik cadangan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyeru agar diadakan pertemuan antara pemimpin politik Melayu dengan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ujar beliau, saranan itu selaras dengan hasrat penyatuan ummah yang diperjuangkan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, Annuar menyarankan pertemuan pemimpin politik Melayu, badan bukan kerajaan Melayu-Islam perlu digerakkan semula sebelum PRU15.

Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Umno antara individu penting yang memainkan peranan sehingga terbentuk MN itu meminta individu yang tidak terlibat dalam pembentukkan MN sebelum ini berhenti bercakap, sebaliknya memberi peluang kepada pucuk pimpinan membuat kenyataan.

MN dibentuk pada 14 September 2019 selepas kedudukan ketuanan Melayu-Islam terjejas di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Bagaimanapun segelintir pemimpin Umno terutamanya di Johor dan Kelantan menganggap MN sudah tidak wujud. Malah, Umno Kelantan memutuskan hubungan dengan PAS dengan membelakangi keputusan Perhimpunan Agung Umno. – HARAKAHDAILY 4/2/2022

- Advertisement -