Ibu bayi kembar lapan meninggal dunia

Mandy Allwood (tengah) pada upacara pengebumian lapan bayi kembarnya di West Norwood, London pada 1996. (FOTO Getty Images).
- Advertisement -

LONDON: Wanita yang melahirkan lapan bayi kembar tidak cukup bulan pada tahun 1996, Mandy Allwood meninggal dunia pada usia 56 tahun akibat kanser.

Warga Britain itu menjadi tajuk utama berita di seluruh dunia 26 tahun lalu, selepas mengumumkan bahawa dia bakal melahirkan bayi kembar lapan atau octuplet.

- Advertisement -

Pada usia kandungan 24 minggu, Allwood yang ketika itu berusia 30 tahun telah melahirkan enam bayi lelaki dan dua perempuan. 

Proses kelahiran bayi kembar yang  mengambil masa selama tiga hari tiga malam itu bagaimanapun gagal apabila kesemua bayi itu meninggal dunia.

Sepanjang bulan-bulan berikutnya, dunia mengikuti kesedihan Allwood, ketika wanita itu meratapi kehilangan bayi-bayinya itu.

Allwood kemudian melahirkan tiga orang anak lagi tetapi mereka yang rapat dengannya berkata dia tidak pernah dapat mengatasi trauma kehilangan lapan bayinya itu secara sekali gus.

Sepanjang 26 tahun selepas kematian bayi kembar lapannya, Mandy dilanda trauma emosi menyebabkan kehidupannya terganggu.

Kesedihan yang dialaminya telah membuatkan dirinya ketagih alkohol sehingga pada Nov 2007, Allwood dia telah ditangkap kerana memandu melebihi had laju yang dibenarkan dengan tiga orang anaknya berada di dalam kereta bersamanya ketika itu.

Insiden itu menyebabkan dia kehilangan hak penjagaan anak-anaknya dan akhirnya menjadi terasing daripada seluruh keluarganya.

Menurut akhbar The Sun, Allwood telah disemadikan di Stratford pada pagi Jumaat (4 Feb) dengan kos pengebumian dibiayai majlis perbandaran tempatan. – Mail Online

- Advertisement -