
WASHINGTON: Amerika Syarikat akan menghantar kira-kira 3,000 tentera tambahan ke Poland dan Romania untuk melindungi Eropah Timur susulan penempatan lebih 100,000 tentera Rusia di sempadan Ukraine.
Pentagon dalam kenyataannya pada Rabu (2 Feb) berkata, Skuadron Stryker yang terdiri daripada kira-kira 1,000 anggota perkhidmatan AS yang berpangkalan di Vilseck, Jerman akan dihantar ke Romania, manakala kira-kira 1,700 anggota perkhidmatan, terutamanya dari Bahagian Bawaan Udara ke-82 akan ditempatkan dari Fort Bragg, North Carolina, ke Poland. Tiga ratus anggota perkhidmatan lain akan berpindah dari Fort Bragg ke Jerman
Presiden AS, Joe Biden melalui twitternya berkata, penempatan itu konsisten dengan apa yang beliau telah tegaskan kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin bahawa selagi dia (Putin) bertindak agresif, kami akan memastikan dapat meyakinkan sekutu kami, NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) dan Eropah Timur bahawa kami berada di sana.
Sementara menurut jurucakap Pentagon, John Kirby, objektif penempatan tentera AS itu adalah untuk menghantar ‘isyarat tegas’ kepada Putin dan memberitahu dunia bahawa NATO penting kepada Amerika Syarikat dan ia penting kepada sekutu kami itu.
Rusia sebelum ini telah menafikan bahawa ia merancang untuk menyerang Ukraine tetapi pada Rabu memberi isyarat bahawa negara itu tidak berminat untuk berkompromi, dengan mengejek Britain dan melabelkan Perdana Menteri, Boris Johnson sebagai ‘sangat keliru/ dan menuduh ahli-ahli politik Britain sebagai ‘bodoh dan jahil’.
Boris dalam kenyataannya pada Selasa (1 Feb) menuduh Rusia sebagai telah ‘meletakkan pistol di kepala’ Ukraine.
Moscow sebelum ini telah mengerahkan lebih 100,000 tentera ke lokasi berhampiran sempadan Ukraine dan berkata ia boleh mengambil langkah ketenteraan yang tidak ditentukan jika tuntutannya tidak dipenuhi, termasuk janji NATO untuk tidak pernah menerima Kyiv (Ukraine) sebagai sekutunya. – Reuters




















