
Oleh SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Pesiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Zuraidin Abdullah sedia menawarkan diri bertanding jawatan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu, 12 Februari ini.
Hasrat terbabit timbul selepas mengambil kira situasi semasa di samping untuk penambahbaikan persatuan itu bagi mengembalikan PSM menjadi ahli keluarga Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).
Katanya, mengambil kira keadaan secara keseluruhan, usaha-usaha pemulihan PSM perlu digerakkan bersama bagi memikul cabaran mendatang dengan penuh rasa tanggungjawab.
“Atas semangat itu saya menyatakan kesediaan untuk menawarkan diri bertanding bagi mengisi jawatan Presiden PSM.
“Semoga sejarah lalu menjadi iktibar untuk semua dan semoga kemelut masa lalu yang pernah berlaku dalam PSM ditamatkan. Marilah kita membuka lembaran baharu demi kebaikan sukan tradisi Malaysia ini,” katanya di sini pada sidang di sini semalam.
Sehubungan itu, beliau berharap AGM PSM yang akan diadakan 12 Februari ini dijalankan dengan penuh persefahaman dan semangat kekeluargaan.
Jawatan nombor badan induk itu kosong selepas Dato’ Seri Ahmad Ismail melepaskan jawatannya pada 4 Jun lalu susulan PSM terpalit isu dengan
ASTAF.
Zuraidin yang juga Adun Chetok berkata, Gastak sebagai ahli gabungan PSM, menyifatkan situasi berkenaan boleh membawa impak negatif terhadap masa depan sukan tersebut di negara ini.
Menurutnya juga Gastak mengadakan mesyuarat khas untuk menilai isu berkenaan secara holistik dan turut mengambil kira pelbagai aspek khususnya perundangan, keharmonian hubungan kerja dengan badan-badan sukan sepak takraw antarabangsa.
“Dengan persetujuan sebulat suara ahli-ahli Majlis Gastak, kami sebelum ini dengan penuh tanggungjawab mengumumkan untuk keluar daripada PSM.
“Pihak kami mengambil maklum perkembangan selanjutnya apabila satu demi satu ahli-ahli gabungan lain dalam PSM mengambil tindakan serupa dan menyatakan pendirian terhadap situasi yang berlaku.
“Akhirnya inisiatif bersama dibentuk bersama 11 bekas ahli gabungan (G11) PSM dengan matlamat untuk memulihkan semula pengurusan badan sepak takraw negara demi kesinambungan serta kemajuan sukan berkenaan,” ujarnya.
Tambahnya, hasil perbincangan dan kesepakatan bersama akhirnya PSM berjaya diselamatkan semula sehingga akhirnya di mana mesyuarat luar biasa (EGM) diadakan Disember lepas.
Menurut beliau pada mesyuarat itu diputuskan diadakan mesyuarat Agung Tahunan PSM pada 12 Februari ini. – HARAKAHDAILY 3/2/2022




















