PAS tetap usaha agenda perpaduan ummah

Tuan Guru Hashim Jasin
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Usaha ke arah perpaduan ummah tetap digerak PAS biarpun Umno lebih selesa bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin berkata, usaha itu digerak secara kerana ia bukan idea PAS, sebaliknya saranan yang terkandung dalam agama Islam.

“Jika kita tidak mengikut arahan Allah, maka kita yang akan berdosa, justeru itu usaha tersebut tidak berhenti bukan sahaja sekadar di medan pilihan raya,” katanya ketika dihubungi di sini.

- Advertisement -

Baru-baru ini Timbalan Pengerusi BN Dato’ Seri Mohamad Hasan dilapor berkata majoriti kepimpinan BN di semua peringkat bahagian mahu gabungan itu bersendirian menghadapi PRN Johor.

Bagaimanapun kata beliau Umno sedia meneliti kerjasama dengan PAS bagi menghadapi PRN Johor.

Tuan Guru Hashim juga berkata, PAS tidak akan berhenti berusaha biarpun tidak mendapat kerjasama Umno pada PRN Dun Johor.

“Tiada paksaan untuk mana-mana parti untuk tetap atau berhenti bekerjasama dengan PAS. PAS akan terus berjuang.

“Sekiranya Umno tidak mahu meneruskan kerjasama dengan kita, bermakna PAS akan menyertai pilihan raya tersebut seperti di PRN Melaka.

“Kerjasama akan diteruskan dengan Bersatu, mungkin bukan kali ini tetapi untuk akan datang kerana jalan perpaduan masih terbuka luas,” ujarnya.

Beliau juga yakin keputusan beberapa siri pilihan raya yang diadakan sebelum ini akan memberi pengajaran dan petunjuk kepada mana-mana parti atau individu.

Menurutnya juga mungkin akan berlaku keputusan yang menyebabkan pimpinan Umno akan sedar selepas berlangsung PRN tersebut nanti.

“Strategi kita masih macam biasa, apa yang kita rancang dan seru selama ini akan diteruskan kerana kita tidak bergantung kepada pilihan raya semata-mata,” ujarnya.

Beliau menegaskan PAS akan tetap melaksanakan perintah Allah berbanding mengutamakan keuntungan yang bersifat sementara atau peribadi.

“Saya melihat ketegasan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang baru-baru ini sangat baik.

“Ia menunjukkan bahawa PAS mempunyai pendirian sendiri dan tidak bergantung kepada mana-mana parti atau kumpulan.

“Sesiapa sahaja individu atau kumpulan yang mahu menjalin kerjasama dengan PAS, silakan dan jika tidak mahu terpulang kepada mereka, tiada paksaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/2/2022

- Advertisement -