Individu berpenyakit perlu ambil dos penggalak

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR:
Kerajaan perlu membuat peraturan keluar masuk rakyat dan warga asing dengan jelas terutamanya berkaitan pematuhan kuarantin dan pemeriksaan pengesahan virus pandemik Covid-19.

Selain itu mereka yang terlibat hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan wabak.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, kawalan kendiri harus diamalkan secara berterusan.

- Advertisement -

“Jika jangkitan berleluasa semula, ia boleh melumpuhkan perkhidmatan kesihatan di negara kita,” katanya.

“Ikutilah maklumat-maklumat yang sahih dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bukan dari media sosial yang tidak diketahui sumbernya,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau juga berkata, bagi rakyat yang mempunyai premorbid atau berpenyakit perlu mengambil dos penggalak sebagai salah satu usaha untuk menjaga kesihatan diri.

Menurutnya di Malaysia 80 peratus dewasa telah lengkap vaksinasi dan 48 peratus sudah mendapat dos penggalak.

“Bagi mengelakkan kesan jangkitan yang memudaratkan hingga membawa kematian, vaksinasi adalah antara usaha yang harus terus ditekankan,” ujarnya.

Beliau juga berkata, gelombang penularan varian Omicron dibawa masuk pelancong dan warga negara yang pulang dari luar negara masih terkawal setakat ini.

Baru-baru ini kerajaan menghentikan sementara jemaah umrah ke Arab Saudi berikutan penularan virus Omicron. – HARAKAHDAILY 31/1/2022

- Advertisement -