Keretapi kargo laluan Pakistan-Iran-Turki dihidupkan semula

- Advertisement -

ISTANBUL: Selepas 10 tahun terhenti, perkhidmatan keretapi kargo antara Turki, Iran dan Pakistan, dilancarkan semula, sekali gus meningkatkan perdagangan ketiga-tiga negara dan rantau berdekatan.

Keretapi Islamabad-Tehran-Istanbul (ITI) pertama tiba di Turki membawa kargo dari Pakistan melalui Iran selepas operasi diteruskan semula.

- Advertisement -

Dalam majlis di sini bagi meraikan ketibaan keretapi, semalam, Menteri Pengangkutan dan Infrastruktur Turki, Adil Karaismailoglu, berkata perkhidmatan itu menawarkan pilihan baharu kepada sektor industri dan perniagaan sepanjang laluan Pakistan-Iran-Turki.

“Perkhidmatan keretapi menjimatkan masa dan kos, berbanding pengangkutan laut antara Pakistan dan Turki yang mengambil masa 35 hari dan akan meningkatkan perdagangan antara kedua negara.

“Melalui laluan ITI, koridor keretapi baharu ini memberi peluang kepada pengeksport di Turki mencapai Pakistan yang berjirankan India, China, Afghanistan dan Iran, iaitu rantau yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi di dunia,” katanya.

Karaismailoglu berkata, ini membolehkan Turki selangkah lagi menjadi jambatan dan pangkalan logistik antara Asia dan Eropah.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Perhimpunan Nasional Pakistan, Makhdoom Zain Hussain Qureshi dan Duta Iran ke Turki, Mohammad Farazmand.

Qureshi berkata, laluan keretapi yang dihidupkan semula itu memberi peluang kepada Pakistan untuk meningkatkan eksport dan memperkukuhkan hubungan dengan pasaran antarabangsa, terutama di Eropah.

“Kerajaan sedia ada di Pakistan percaya terhadap hubungan serantau dan untuk memainkan peranan di peringkat itu, kami perlu lebih kukuh dari segi ekonomi.

“Pakistan bukan hanya perlu mencapai keamanan di rantau kami, tetapi meningkatkan perdagangan sesama jiran dan laluan keretapi akan menjadi projek persahabatan,” katanya.

Beliau berkata, Pakistan kini mendapat akses ke pasaran Eropah dan Turki pula mendapat akses ke negara Asia Selatan, sekali gus kedua-dua negara mendapat manfaat dan berharap kerjasama mampan dapat diperkukuhkan pada masa depan.

Farazmand pula berkata, projek itu dimulakan pada tahun 2009, tetapi digantung kerana isu teknikal dan kini dimulakan semula selepas 10 tahun.

Katanya, ketiga-tiga negara juga merancang untuk melancarkan perkhidmatan keretapi penumpang menggunakan laluan sama pada masa depan.

Keretapi kargo ITI dengan kapasiti 22 tan, memulakan perjalanan dari Stesen Margalla di Islamabad pada 21 Disember dan tiba di Ankara dalam tempoh 12 hari dan 21 jam selepas melalui perjalanan sejauh 5,981 kilometer.

Perkhidmatan ini sebenarnya dimulakan dari Islamabad ke Istanbul pada 14 Ogos 2009, tetapi tidak diteruskan akibat banjir yang melanda Pakistan pada 2009. – TRTWorld

- Advertisement -